KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa perlu mengenakan hukuman maksimum terhadap pengurusan kedai serbaneka, KK Mart dan pembekal sandwic yang terlibat dalam penyalahgunaan logo halal palsu.
Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia (GEB), Armin Baniaz Pahamin berkata, tindakan itu penting sebagai pengajaran kepada syarikat-syarikat lain supaya mematuhi undang-undang dan menjaga sensitiviti agama di negara ini.
Tegas beliau, kedua-dua pihak juga mesti bertanggungjawab sepenuhnya atas kesalahan menggunakan logo halal itu yang bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi mencabuli kepercayaan pengguna Islam.
Ujar beliau, sebagai sebuah negara Islam dan dengan aspirasi Malaysia sebagai hab pengeluaran produk halal global, kredibiliti logo halal yang dipamerkan pada produk makanan tidak boleh dipermainkan.
“Kepercayaan pengguna terhadap logo halal adalah tulang belakang kepada ekonomi halal negara.
“Masyarakat perlu yakin bahawa mana-mana produk yang mempamerkan logo halal adalah sah dan mematuhi standard tertinggi tanpa waswas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Armin Baniaz Pahamin menyifatkan penjualan sandwic dengan logo halal palsu di KK Mart mencerminkan kecuaian berterusan pihak pengurusan kedai serbaneka terbabit.
Katanya, insiden itu bukan pertama kali melibatkan KK Mart yang mana sebelum ini pernah terpalit kontroversi penjualan stokin dengan kalimah Allah yang turut mencetuskan kemarahan umat Islam.
Ujar beliau, KK Mart telah berulang kali gagal menunjukkan penghormatan kepada sensitiviti agama Islam dan mesti dikenakan hukuman maksimum di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 sebagai pengajaran.
Tegasnya, hukuman maksimum juga perlu dikenakan terhadap pembekal, malah pihak berkuasa boleh mempertimbangkan untuk mengenakan sekatan lesen perniagaan terhadap pihak yang terlibat.
“Pelanggaran berulang ini mencerminkan kecuaian dan ketidakseriusan KK Mart dalam memastikan kepatuhan kepada undang-undang serta menjaga sensitiviti agama.
“Penyalahgunaan logo halal serta insiden melibatkan produk sensitif seperti stokin dan kasut jelas menunjukkan tindakan keras adalah satu-satunya langkah efektif untuk mencegah kejadian serupa pada masa depan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menyeru pihak berkuasa untuk bertindak segera, telus dan tegas dalam isu itu demi melindungi hak pengguna, memelihara integriti pensijilan halal serta memastikan keharmonian agama di Malaysia terus terpelihara. – MalaysiaGazette