KLUANG – Seorang lelaki berjaya diselamatkan daripada cubaan membahayakan diri dalam kejadian berhampiran sebuah restoran di Jalan Dato Rauf di sini semalam.
Pada kejadian pukul 6.47 petang itu lelaki berusia 29 tahun terbabit dilihat berdiri di tingkat dua bangunan di jalan berkenaan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Penguasa Bomba Kanan II, Jusoh Mohd Saleh berkata, seramai 10 anggota kemudian dikejarkan ke tempat kejadian.
Menurutnya, mereka dibantu sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT).
“Setibanya di lokasi kejadian pukul 6.50 petang didapati seorang lelaki cuba untuk terjun dari tingkat dua bangunan tersebut. Pihak bomba kemudiannya bertindak memujuk mangsa sehingga berjaya sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi kemudiannya ditamatkan pada pukul 7.12 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod dikehendaki dan tangkapan dibuat atas rekod berkenaan.
Tambah beliau, lelaki berkenaan kini ditahan untuk siasatan bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.- MalaysiaGazette