Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan Timbalan Presiden UAE, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum di Istana Za’abeel, Dubai, UAE pada 13 Januari 2025. - AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri

ABU DHABI- Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini memeterai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (MY-UAE CEPA) yang bertujuan membuka peluang baharu dalam perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi.

Majlis permeteraian itu disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UAE dan Pemerintah Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan di ADNEC Center, di sini.

Terdahulu, Anwar yang sedang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke UAE mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden UAE itu.

Perdana Menteri kemudian bersama-sama beberapa pemimpin dunia menghadiri majlis perasmian Abu Dhabi Sustainability Week (ADSW) 2025 yang disempurnakan oleh Sheikh Mohamed.

Anwar menerusi satu kenyataan berkata beliau mengalu-alukan pemeteraian perjanjian antara kedua-dua negara itu.

Beliau berkata sebagai perjanjian perdagangan bebas (FTA) pertama Malaysia dengan sebuah negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC), perjanjian itu dijangka menjadi pemangkin kepada hubungan perdagangan dan pelaburan yang lebih kukuh bukan sahaja antara Malaysia dan UAE malah merangkumi juga dengan negara Teluk yang lain.

“MY-UAE CEPA akan membuka peluang kerjasama ekonomi yang lebih mendalam, termasuk penghapusan/pengurangan tarif dan peningkatan akses pasaran, yang bakal memacu eksport dan mewujudkan peluang pelaburan baharu bagi sektor utama,” kata Anwar.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here