Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi menghadiri perbicaraan kes pendakwaan membabitkan penyelewengan dana 1MDB ketika tinjauan MalaysiaGazette di Mahkamah Tinggi KL. Foto AIZAT ZAINAL, 19 SEPTEMBER 2024. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak mengaku di Mahkamah Tinggi hari ini, laman Facebook atas nama `Ah Jib Gor’, milik beliau namun menafikan ia digunakan kaitan untuk kepentingan peribadi.

Bekas Perdana Menteri juga tidak bersetuju dengan saranan pendakwaan bahawa laman Facebook itu diwujudkan bertujuan untuk menaikkan imej beliau dalam masyarakat berbangsa Cina.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar, Najib juga tidak bersetuju bahawa akaun media sosial itu mempunyai kaitan dengan jawatan rasminya sebagai Perdana Menteri.

Kamal Baharin: Laman sosial `Ah Jib Gor’ milik Datuk Seri?

Najib: Ya, ia untuk hubungan dengan masyarakat Cina.

Kamal Baharin: Saya katakan, laman Facebook itu mempunyai kaitan dengan kepentingan peribadi Datuk Seri untuk meningkatkan imej dalam masyarakat Cina.

Najib: Tidak setuju, ia bertujuan untuk memaklumkan polisi kerajaan melalui media sosial.

Kamal Baharin: Saya katakan, atas kapasiti sebagai Perdana Menteri, urusan komunikasi diuruskan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO)?

Najib: Urusan media sosial adalah di luar bidang kuasa PMO.

Isu mengenai laman sosial Facebook atas nama `Ah Jib Gor’ dibangkitkan oleh pihak pendakwaan ketika menyoal balas Najib pada prosiding bela diri yang berlangsung di Kompleks Mahkamah Istana Kehakiman di sini.

Najib, 71, menjawab empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Dalam kes pendakwaan sekitar 2019, mahkamah diberitahu, Najib membayar sejumlah RM238,914 kepada dua syarikat media berbahasa Cina bagi kerja mengendalikan laman Facebook Ah Jib Gor dan penerbitan sebuah akhbar mingguan.

Bekas Setiausaha Politik Najib, Datuk Wong Nai Chee, 50, berkata beliau menerima cek bagi pembayaran untuk dua syarikat itu daripada Najib sendiri yang ditandatangani bekas Perdana Menteri itu di pejabatnya di sini.

Nai Chee berkata, cek berkenaan diterimanya untuk diserahkan kepada Tan Sri Lim Soon Peng untuk bayaran kepada AD Network dan Akademi Kewartawanan & Informasi Taima (AKIT).

Ujar saksi pendakwaan ke-17 itu, wang tersebut juga digunakan bagi bayaran kepada AKIT untuk penerbitan akhbar Cina, Chinese Weekly bagi membolehkan penyampaian berita tepat kepada masyarakat itu.

Mahkamah ketika itu turut diberitahu, Najib menggunakan perkhidmatan syarikat perunding swasta bagi menjalankan kerja pemantauan media Cina dan kaji selidik dasar awam termasuk mengenalpasti mengapa masyarakat Cina anti kerajaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here