KUALA LUMPUR – Sebarang perintah larangan atau gag order terhadap orang awam daripada membincangkan isu titah adendum penahanan rumah Datuk Seri Najib Tun Razak secara terbuka hanya akan mengundang persepsi negatif.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, langkah itu akan mengakibatkan rakyat berprasangka bahawa kerajaan mahu menyembunyi lebih banyak rahsia berkaitan titah adendum.
Ahli Dewan Undangan Negeri Rengit itu berkata, terlalu banyak komen negatif berkaitan tindakan Pejabat Peguam Negara mahu memohon perintah larangan.
“Komen rakyat terhadap permohonan Pejabat Peguam Negara untuk gag order terlalu negatif. Ia menambah parah trust deficit kepada kerajaan.
“Gag order melarang rakyat bercakap isu titah adendum menyebabkan rakyat percaya kerajaan ada banyak lagi rahsia yang mahu disorokkan.
“Banyak spekulasi dan juga andaian negatif akan berlegar di media sosial. Ia memburukkan kredibiliti kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Puad berkata, Pejabat Peguam Negara wajar membatalkan niat mahu memohon gag order kerana Mahkamah Tinggi memutuskan ia mesti dipohon sebelum 20 Januari 2025.
Media sebelum ini melaporkan, Kerajaan akan memfailkan permohonan perintah larangan bersuara bagi melarang sesiapa sahaja membincangkan isu berkaitan kes permohonan semakan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung Titah Adendum.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan berkata, permohonan itu dibuat berikutan kes itu menyentuh isu sensitif.
“Mahkamah mengarahkan permohonan itu difailkan pada 20 Januari ini dan Najib perlu memfailkan affidavit balasan dalam tempoh seminggu,” katanya baru-baru ini.
Bagaimanapun peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas perdana menteri itu membantah permohonan berkenaan.
Ini kerana kes tersebut adalah kepentingan awam dan telah dibincangkan secara meluas termasuk di Parlimen.
Minggu lalu, Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum di Mahkamah Rayuan Putrajaya.
Keputusan itu dibuat majoriti 2 -1 dengan Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril membenarkan rayuan Najib selaku perayu manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel menentangnya.-MalaysiaGazette