KOTA TINGGI – Mangsa banjir di daerah ini perlu sentiasa mengikut arahan pihak berkuasa termasuk berpindah dalam berdepan gelombang kedua banjir di Johor yang diramal berlaku esok hingga Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Norlizah Noh berkata, mereka seharusnya sentiasa berwaspada selain peka dengan perkembangan terkini banjir.
“Jangan berdegil apabila pihak berkuasa arahkan supaya berpindah, ini adalah atas faktor keselamatan jadi kena ikut arahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SJKC) New Kota di sini hari ini.
Seramai 208 mangsa banjir daripada 52 keluarga ditempatkan di PPS berkenaan sejak dibuka sejak Jumaat lalu.
Kelmarin, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, gelombang kedua banjir di Johor dijangka melanda esok hingga Sabtu ini.
Onn Hafiz memberitahu, ramalan itu berdasarkan jangkaan dimaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia sekali gus menyeru seluruh Bangsa Johor waspada dan mendengar arahan pihak berkuasa
Mengulas lanjut, Norliza berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada mangsa banjir di setiap PPS yang dilawatinya supaya bersiap sedia dengan gelombang kedua banjir.
Beliau memberitahu, terdapat lebih 700 mangsa banjir dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama antaranya di Taman Aman dan Kota Kecil.
Norliza berterima kasih kepada petugas dan agensi berkaitan yang menjaga kebajikan mangsa banjir di semua PPS di daerah ini.- MalaysiaGazette