Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang mengecam sekerasnya tindakan rangkaian kedai KK Mart Concept Store yang menjual ham and cheese sandwich menggunakan logo halal palsu di Universiti Malaya (UM) semalam.

Ketuanya, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail  kesal kerana KK Mart seolah-olah masih tidak ‘insaf’ dengan isu stoking tertera kalimah Allah dengan mengulangi penghinaan sama dan mencetus kegusaran dalam kalangan umat Islam.

“Kes penjualan ham and cheese sandwich dengan logo halal palsu di KK Mart adalah satu penyelewengan besar terhadap sensitiviti umat Islam di negara ini.

“Apakah KK Mart masih buta dengan kes-kes penghinaan sebelumnya seperti insiden stoking dengan kalimah Allah yang mengguris hati umat Islam?

“Ini adalah tanda jelas betapa lemahnya sistem kawalan dalam perniagaan mereka tanpa mengambil kira kepentingan agama masyarakat majoriti di negara ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan produk sandwic ham yang dijual di sebuah premis di Universiti Malaya (UM) tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

JAKIM juga mengesahkan syarikat yang membekalkan produk terbabit bukan pemegang SPHM.

Fariz juga mempersoalkan pengurusan KK Mart kerana tidak berhati-hati dalam membuat pemilihan produk makanan sebelum dijual di premis rangkaian miliknya, apatah lagi melibatkan logo halal.

“Semudah itukah satu produk yang tidak pernah mendapat sijil halal daripada JAKIM boleh dijual dengan logo halal palsu? Ini merupakan tindakan sengaja untuk menguji kesabaran umat Islam yang selama ini bertolak ansur.

“KK Mart perlu sedar mereka beroperasi di negara dengan majoriti rakyatnya adalah beragama Islam. KK-Mart bukan sahaja bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan, bahkan wajib menjaga sensitiviti agama serta memastikan setiap produk dijual memenuhi piawaian yang ditetapkan,” katanya.

Fariz yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO berkata, penggunaan logo halal palsu hingga mengelirukan mahasiswa beragama Islam bukan isu kecil sebaliknya satu penghinaan yang tidak boleh dimaafkan.

“Tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap KK Mart. Ini bukan masa untuk amaran kosong atau sekadar teguran, ini adalah masa untuk pengajaran yang keras!

“Denda yang tinggi, penggantungan lesen, atau pembatalan lesen operasi adalah langkah perlu diambil dengan segera. Tindakan tegas satu keperluan, bukan pilihan!

“Jika ia dibiarkan, insiden seperti ini akan terus berulang dan umat Islam akan dipermainkan tanpa henti,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, tindakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh membangkitkan isu ini adalah langkah yang berani bukan bermotifkan politik sempit tetapi untuk mempertahankan hak dan maruah umat Islam.

“Pihak-pihak yang menuduhnya mempolitikkan isu ini jelas tidak memahami betapa pentingnya prinsip agama dalam kehidupan umat Islam.

“Islam tidak boleh dipermainkan atau dikompromi, semata-mata untuk menjaga kepentingan ekonomi atau keharmonian palsu. Umat Islam tidak akan pernah tunduk kepada pihak yang cuba meremehkan nilai agama demi keuntungan material,” katanya.

Sementara itu, Fariz membidas kenyataan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng yang meminta isu itu tidak dipolitikkan sedangkan permintaan Ahli Parlimen Tanjong Piai itu hanya menyerlahkan ‘kejahilannya’.

“Isu halal haram adalah soal hidup dan mati bagi umat Islam bukan boleh dibuang ke tepi. Ini jelas memperlekeh umat Islam dan menunjukkan betapa ceteknya pemahaman terhadap keharmonian negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here