Nabil Halimi

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa polis mengambil tindakan segera terhadap KK Mart dan pengilang Shake And Bake Cafe Sdn Bhd yang menjual produk Ham and Cheese Sandwich dengan mencetak logo Halal tanpa memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Ketua Penerangannya, Nabil Halimi berkata, penggunaan logo halal tanpa kebenaran bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pengguna.

“Isu ini membangkitkan kebimbangan terhadap kepercayaan umat Islam dalam status halal produk yang dibeli,” katanya menerusi kenyataan.

Ujar beliau, pihak korporat termasuk pengilang dan pengedar sepatutnya bertanggungjawab memastikan produk mereka mematuhi peraturan dan menghormati sensitiviti pengguna.

“Prinsip Rukun Negara “Kepercayaan kepada Tuhan” mengingatkan kita tentang pentingnya hidup harmoni dengan saling menghormati kepercayaan setiap individu.

“Sebagai sebuah negara majmuk, sensitiviti agama perlu dihormati, manakala sebarang provokasi atau tindakan melulu yang berpotensi mencetuskan ketegangan kaum dan agama harus dielakkan,” tambahnya.

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan produk ‘ham dan cheese’ yang dijual dalam KK Mart di sebuah universiti awam di Kuala Lumpur tidak mempunyai SPHM dan syarikat yang menghasilkan produk itu bukan pemegang SPHM.

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar mengarahkan jabatan itu bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengambil tindakan penguatkuasaan serta mengheret pihak yang menyalahgunakan logo halal ke muka pengadilan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here