KUALA LUMPUR – Jemaah umrah Hejira Travel & Tours Holdings Sdn Bhd mendakwa syarikat itu kerap berdolak dalik sejak awal lagi dan gagal memberikan butiran penerbangan dan tempat tinggal meskipun tarikh berlepas ke tanah suci hanya tinggal beberapa hari sahaja.
Salah seorang mangsa, Suhaila Aini,47, berkata, beliau dengan lebih 320 jemaah umrah lain menghadapi pelbagai masalah komunikasi dan kekeliruan maklumat sejak taklimat awal bersama mutawif.
Beliau bersama suami yang membayar RM14,900 seorang, sepatutnya berlepas untuk menunaikan umrah pada hari ini (14 Januari).
Namun katanya, semasa taklimat bersama mutawif pada Jumaat malam, tiada butiran terperinci mengenai penerbangan diberikan, sebaliknya hanya dimaklumkan mengenai nama kumpulan, jumlah ahli di dalam kumpulan tersebut serta waktu penerbangan.
“Maklumat itu pun tidak tetap, sentiasa bertukar-tukar. Mula-mula kami diberitahu waktu penerbangan bagi Kumpulan 1-5 adalah pada jam 9 pagi, manakala Kumpulan 6-8 adalah pada jam 9 malam.
”Butiran mengenai syarikat penerbangan apa, nombor penerbangan semua tidak diberikan.
”Mutawif memaklumkan pengasas Hejira iaitu Sofea akan buat taklimat menerusi Google Meet bersama para jemaah pada Sabtu malam untuk kongsikan butiran penerbangan, visa dan hotel namun perkara itu juga dibatalkan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Suhaila yang merupakan seorang usahawan menambah, beliau bengang apabila syarikat berkenaan enggan memberi sebarang kepastian malah menjadikan mereka seperti bola apabila ’ditendang ke sana ke mari.’
“Pihak pentadbiran mengelak pertanyaan saya dan memberitahu untuk menghubungi pihak operasi dan mereka kemudian memberitahu saya untuk menghubungi pihak pentadbiran sekali lagi dan memaklumkan akan ada orang lain membuat panggilan untuk menjelaskan mengenai perkara itu.
“Akhirnya, saya dimaklumkan penerbangan pada 14 Januari dibatalkan dan diganti ke 19 Januari,” katanya lagi.
Menurut Suhaila, keputusan Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd itu yang menukar jadual secara mengejut mencetuskan kemarahan kerana peserta telah membuat persiapan awal.
Katanya, beliau membuat keputusan untuk menuntut supaya 100 peratus wangnya dikembalikan kerana sudah hilang kepercayaan terhadap syarikat tersebut.
Tambahan pula, semakan status visa beliau dan umrahnya mendapati hanya visa Suhaila sahaja yang diproses sebagai pelancong manakala visa suami langsung tiada meskipun bayaran telah dibuat.
“Selepas berulang kali mendesak pihak pengurusan dan ejen, saya berjaya mendapatkan bayaran balik sebanyak RM13,900 daripada jumlah asal RM14,900 dengan potongan dikenakan atas alasan digunakan untuk visa tersebut, namun, saya mempersoalkan potongan tersebut kerana visa suami saya tidak pernah diproses.
“Saya juga berjaya membantu mendapatkan bayaran balik untuk kakak dan abang ipar, namun, kebanyakan peserta lain masih belum menerima sebarang pampasan dan mereka layak mendapat keadilan,” ujarnya.
Tambahnya, dia kini memilih untuk meneruskan perjalanan umrahnya bersama agensi lain pada 28 Januari.
“Saya belajar dari pengalaman ini dan sokongan terhadap rakan tidak seharusnya mengorbankan kepercayaan dan hak pengguna,” katanya yang turut berharap tiada lagi mangsa terjebak dengan isu sama di masa hadapan. – MalaysiaGazette