Mohd Zai Mustafa

KUALA LUMPUR – Penjualan produk dengan logo halal yang tidak sah merupakan satu bentuk penipuan dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam dalam membuat keputusan membeli makanan di pasaran.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Mohd Zai Mustafa berkata, pihak berkuasa perlu segera mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak terlibat dalam penggunaan logo halal palsu.

“Tindakan tegas perlu diambil ke atas pengeluar dan pengedar yang menjual produk yang mengandungi bahan tidak halal, demi menjaga kepentingan umat Islam dan keselamatan makanan yang dipasarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan produk sandwic ham yang dijual di sebuah premis di Universiti Malaya (UM) tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

JAKIM juga mengesahkan syarikat yang membekalkan produk terbabit bukan pemegang SPHM.

Semalam Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh mengecam KK Mart kerana didakwa menjual produk sandwic ham yang dikaitkannya dengan daging babi.

Dalam pada itu, Mohd Zai juga berkata, pengusaha syarikat pengeluar di seluruh negara perlu lebih bertanggungjawab dalam memastikan produk yang dijual mematuhi standard halal sah dan diiktiraf JAKIM serta mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

“Ummah menyeru pihak berkuasa termasuk Jakim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), segera melakukan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat dalam penjualan produk ini,” katanya.

Selain itu, katanya, Ummah turut mendesak agar langkah-langkah penguatkuasaan yang lebih ketat dan pemeriksaan lebih menyeluruh dijalankan untuk mengelakkan kejadian serupa daripada berulang di masa depan.

“Ummah tidak teragak-agak menggerakkan kempen ‘boikot’ terhadap mana-mana perniagaan yang cuba ‘mencuri pasaran’ umat Islam dengan menggunakan logo halal palsu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here