KUANTAN – ”Jangan sesekali cabar kami, ingat kami bukan barua kamu semua”.
Itu tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Mohd Kamil Ibrahim ekoran tindakan DAPSY mempertikai urusan berkaitan isu halal yang menjadi kepentingan orang Islam di negara ini yang dianggap tidak wajar.
Ujarnya, DAPSY perlu sedar dan tahu soal halal haram adalah isu sensitif bagi umat Islam.
“Asal soal halal DAPSY mudah melenting. Kami bersuara untuk kepentingan agama kami dan bukan untuk kepada mereka.
”Kalau ada barua yang maki dan mempertikai hak untuk pertahankan kepentingan kami menjaga kehormatan orang Islam lebih baik kami berhenti jadi Pemuda UMNO dan jadi balaci kamu semua.
”Ini kerana Pemuda UMNO berjuang demi agama, bangsa dan tanah air. Kalau DAPSY nak lawan apa yang kami suarakan, kita lawan sampai habis. Kita bukan baru hari ini lawan mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Jelas Mohd Kamil, sebagai Pemuda UMNO, mereka akan tidak akan tunduk malah sedikit pun tidak takut dengan kenyataan yang dilemparkan pihak itu apabila didakwa lantang bersuara.
Menurutnya, mereka berdiri teguh bersama ketua mereka, Dr Akmal Saleh untuk perjuangkan isu halal demi kepentingan umat Islam di negara ini.
Beliau turut mengingatkan agar DAPSY tidak menegakkan benang yang basah apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah mengesahkan logo Halal yang ditampal adalah tidak sah dan palsu.
”Jangan sesekali cabar kepentingan dan kesucian agama kami. Apa lagi yang kamu cuba nak buktikan? Kamu nak pertahankan apa lagi?”
“Kerajaan sudah bagi peringatan jangan sentuh perkara yang berkaitan dengan 3R tetapi kamu semua masih lagi mempertahan mereka yang melanggar perkara yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
”Tak usah nak tunjuk sangat pertahankan tauke kamu yang lebih penting sekarang ini adalah kepentingan agama perlu dijaga,” ujarnya.
Terdahulu Ketua DAPSY Malaysia, Woo Kah Leong berkata, sebagai pemimpin kerajaan, Dr Akmal sepatutnya berusaha untuk menurunkan suhu politik yang dinaikkan oleh pembangkang dengan niat untuk memecahbelahkan masyarakat majmuk.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu diingatkan agar tidak bertindak sebagai batu api untuk memecahbelahkan Masyarakat sebaliknya menjadi pemimpin pemuda harus membantu untuk membina jambatan perpaduan
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar itu berkata demikian mengulas kenyataan terbaharu Dr Akmal berhubung gesaan agar polis dan agensi berkaitan menjalankan siasatan serta mengambil tindakan terhadap pihak yang terbabit susulan penemuan produk makanan ham and cheese yang status halalnya diragui dijual di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN :
Logo halal: DAPSY sokong kenyataan Kah Leong, cari penyelesaian bukan pergaduhan
DAPSY ingatkan Dr Akmal jangan jadi batu api dan berlagak hero