KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyalurkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bermula esok, 15 Januari 2025, melalui MyKad secara bulanan kepada 700,000 penerima miskin dan miskin tegar.
Bagi tahun 2025, penyaluran SARA melalui penggunaan MyKad akan diperluaskan ke negeri Sabah dan Sarawak berbanding hanya di negeri-negeri Semenanjung Malaysia pada tahun 2024.
Kadar bantuan SARA ditingkatkan dengan isi rumah miskin dan miskin tegar di dalam rekod eKasih bakal menerima RM2,100 untuk tahun 2025, berbanding RM1,200 pada tahun 2024.
Kementerian Kewangan berkata, bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi bulan Januari hingga Mac 2025. Mulai April 2025, kadar bantuan ini akan ditingkatkan kepada RM200 sebulan.
Mekanisme yang seragam ini adalah penambahbaikan daripada tahun lalu, berbanding penyaluran bantuan secara tunai dua kali setahun kepada penerima SARA yang bermastautin di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, SARA merupakan pendekatan bantuan bersasar yang mana sebahagian pertambahan hasil negara serta penjimatan daripada perbelanjaan subsidi diagihkan semula bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan.
Penyaluran SARA melalui MyKad juga bersasar kerana mekanisme tersebut memastikan golongan miskin menerima manfaatnya dalam bentuk barang asas termasuk makanan asas.
“Menjunjung prinsip kesaksamaan dan nilai manusiawi yang menghidupkan kerangka Ekonomi Madani, penyusunan semula kewangan Kerajaan ini memastikan hasilnya dapat memanfaatkan rakyat terbanyak. Kerajaan MADANI komited menggunakan teknologi digital mutakhir bagi memastikan penyaluran bantuan dilakukan dengan kaedah yang mudah difahami dan digunakan oleh rakyat,” tambah beliau.
Penambahbaikan kepada SARA ini merangkumi sebahagian daripada peningkatan peruntukan Belanjawan 2025 bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA ke tahap tertinggi dalam sejarah, iaitu RM13 bilion berbanding RM10 bilion pada tahun lalu.
Selain daripada itu, 5.4 juta penerima STR turut akan menerima bantuan tambahan SARA mulai April 2025. Ini terdiri daripada 700,000 penerima SARA sedia ada dan 4.7 juta penerima STR sedia ada yang tidak berada dalam rekod eKasih.
Bagi kategori isi rumah, tambahan sumbangan SARA adalah sebanyak RM100 sebulan manakala golongan warga emas tiada pasangan akan menerima sumbangan tambahan SARA sebanyak RM50 sebulan. – MalaysiaGazette