Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (tengah) bergambar bersama-sama wakil syarikat konsesi Lebuh Raya dan syarikat konsesi Penyenggaraan ketika Majlis Perhimpunan Bulanan Kerja Raya di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kementerian Kerja Raya di Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 13 JANUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Kos membaiki jalan raya yang rosak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak akibat banjir berikutan Monsun Timur Laut (MTL) mencecah RM101.57 juta.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sejumlah RM45.37 juta bagi kos pembaikan di Semenanjung, manakala Sabah dan Sarawak pula RM56.2 juta.

Bagi Semenanjung, melibatkan kerja pembaikan jalan berkala pavemen dengan kos sebanyak RM15.7 juta dan bukan pavemen (RM26.97 juta), jambatan (RM1.5 juta) serta lampu isyarat dan lampu jalan (RM1.2 juta).

“Secara keseluruhan, ada sembilan lokasi terkesan dan mengalami kerosakan akibat MTL, termasuk insiden cerun runtuh. Ia membabitkan masing-masing dua lokasi di Kelantan serta Terengganu dan lima lagi di Perak,” katanya.

Manakala di Sabah, jalan berkala pavemen (RM35.72 juta) dan bukan pavemen (RM9.78 juta), manakala di Sarawak, jalan berkala pavemen (RM6.55 juta) serta bukan pavemen (RM4.15 juta)

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2025 di kementeriannya di sini hari ini.

Sementara itu, Alexander berkata, KKR bercadang melaksanakan sistem merit untuk mengukur tahap prestasi dan akauntabiliti syarikat konsesi serta kontraktor dalam pelaksanaan tugas.

Beliau menegaskan, keberkesanan dalam pengurusan projek dan penyenggaraan jalan adalah antara faktor utama yang sering dinilai oleh rakyat.

Penelitian lanjut mengenai sistem merit itu akan dibincangkan secara lebih komprehensif pada peringkat pengurusan kementerian bersama pihak konsesi dan kontraktor agar satu kata sepakat dapat dicapai bagi merealisasikan pelaksanaan sistem berkenaan.

“Selain sistem merit dengan memperkenalkan ‘platform pengurusan digital’, setiap aspek projek akan dipantau secara telus, dari fasa perancangan hingga ke fasa penyelenggaraan.

“Kita juga boleh memanfaatkan ‘sistem data besar’ untuk menganalisis prestasi projek dan mengenalpasti potensi pembaikan sebelum masalah timbul. Dengan pengurusan yang lebih sistematik, kita yakin bahawa setiap projek yang dilaksanakan akan memberi impak yang maksimum kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Azman Ibrahim.

Kira-kira 1000 warga Kementerian, agensi dan wakil syarikat konsesi hadir pada majlis yang berlangsung di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid di ibu negara.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here