Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berucap dalam majlis penutup sesi libat urus perlindungan harta intelek digital di Menara MyIPO, Petaling Jaya, Selangor, hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,682 laman sesawang haram yang menyebarkan kandungan cetak rompak seperti filem dan muzik popular telah disekat dari 2021 hingga November tahun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata tindakan itu mencerminkan komitmen kementerian untuk mengelakkan sebarang eksploitasi terhadap karya kreatif tempatan.

“Tindakan itu dilaksanakan KPDN dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan penyedia perkhidmatan Internet (IPS).

“Bagi memperkukuh lagi usaha melindungi karya kreatif, KPDN turut memperkenalkan ‘Program Cyber Copyright Enforcement (CyCORE)’ yang merupakan kerjasama antara Kementerian, SKMM, IPS dan pemilik hak cipta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri sesi libat urus perlindungan harta intelek digital di Menara MyIPO, Petaling Jaya, Selangor, hari ini.

Pihaknya juga akan terus komited untuk menghapuskan pengedaran cetak rompak digital yang berleluasa di Internet menerusi program berkenaan.

“Walaubagaimanapun, pendekatan secara menyeluruh dan kerjasama semua pemain industri diperlukan bagi memastikan usaha itu dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Oleh itu, kami akan terus memperkukuh kerjasama dengan pelbagai agensi untuk menangani isu cetak rompak digital ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa sebanyak 69,442 permohonan Pemberitahuan Secara Sukarela Hak Cipta difailkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MylPO) dari 2012 hingga tahun lalu.

Ini termasuk pelbagai karya kreatif seperti sastera, seni, muzik, filem dan rakaman bunyi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here