PASIR GUDANG – Risikan polis dalam tempoh hanya 24 jam berjaya membongkar kegiatan sindiket menjadikan lorong di Jalan Cendana 13, Taman Cendana di sini sebagai lokasi menyimpan minuman keras dan rokok tidak bercukai.
Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 melakukan serbuan pukul 9.30 malam tadi dan merampas 33 kotak minuman keras serta rokok tidak bercukai pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM186,033.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, hasil serbuan itu polis merampas 15 kotak rokok dan 18 kotak minuman keras.
“Kesemua barang rampasan berkenaan dipercayai tidak bercukai kastam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000, yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Polis katanya, sedang memburu suspek terlibat dalam kes tersebut dan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat agar menyalurkannya untuk membantu siasatan.
Maklumat katanyam, boleh disalur kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Hamizan Fakhri menerusi talian 010-4338032 atau hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam 07-3864222.- MalaysiaGazette