KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) yang melakukan analisis terhadap model-model ramalan cuaca terkini menunjukkan luruan monsun dijangka berlaku pada 15 sehingga 19 Januari ini.
Ketua Pengarahnya, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan berterusan di selatan Semenanjung serta Sabah dan Sarawak dalam tempoh berkenaan.
“Sehubungan itu, MET Malaysia telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) melibatkan Johor, Sabah dan Sarawak berkuat kuasa pada 16 hingga 19 Januari 2025.
“Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, MET Malaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan ancing kencang dijangka melanda beberapa kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, sehingga jam 6 petang, hari ini.
“Antaranya Perak (Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim); Pahang (Rompin); Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Klang); Johor (Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai dan Johor Bahru)
“Selain itu, Sarawak (Miri (Marudi) dan Limbang); Sabah Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort dan Keningau) dan Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran) serta Wilayah Persekutuan Labuan
Kata MET Malaysia lagi, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette