KUALA LUMPUR – Madad International Sdn. Bhd. melabur hampir RM1 juta untuk menceburi bisnes jam azan sebagai strategi pengembangan produk baharu syarikat itu di pasaran.
Bisnes itu melibatkan kerjasama dengan Promas Sdn. Bhd. (Promas) iaitu syarikat berpengalaman lebih 19 tahun dalam membekalkan jam azan kepada masjid dan surau di seluruh negara.
Pengarah Urusan Madad International, Mohammad Yaakob Yusra Mohd Yusuf berkata, jumlah pelaburan itu melibatkan kos pembinaan kilang pengeluaran sebanyak RM400,000 di Sungai Petani, Kedah.
Menurut beliau, bagi pengeluaran pertama, sebanyak 1,000 unit jam azan dihasilkan di pasaran dengan sasaran jualan hingga RM3 juta sebulan.
“Jam azan Madad akan membawakan elemen keunikan suasana masjid ke dalam rumah dengan rekaan moden serta fungsi mesra pengguna.
“Jam ini bersaiz lebih kompak dan harganya lebih mampu milik berbanding produk sama di pasaran.
“Lebih penting, ia telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri serta pengesahan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bai memastikan waktu solat yang dipaparkan adalah tepat,” katanya pada majlis produk baharu itu baru-baru ini.
Madad International kini kini mengambil alih operasi Promas termasuk aspek pengurusan dan pentadbiran dengan visi untuk memastikan setiap rumah memiliki sekurang-kurangnya satu jam azan Madad.
Mohammad Yaakob Yusra menambah, jam azan tersebut direka untuk membantu umat Islam melaksanakan kewajipan solat sambil menjadi peringatan harian untuk memperbaiki diri.
Justeru katanya, ciri-ciri utama jam ini termasuk peringatan sebelum azan di mana bacaan surah dimainkan 10 minit sebelum waktu solat yang memberikan pengguna masa untuk bersedia.
Katanya ciri lain adalah zikir harian akan dimainkan untuk membantu pengguna sentiasa mengingati Allah SWT dan reka bentuk berlatar belakang pelbagai gambar termasuk imej Masjid Nabawi dan Masjidil Haram.
“Madad International juga merancang untuk memperkenalkan versi jam pintar yang kini dalam peringkat prototaip dengan sasaran pengeluaran antara 5,000 hingga 10,000 unit dalam masa terdekat.
“Jam ini akan berfungsi sebagai diari solat selain membolehkan pengguna menyemak waktu mereka mendirikan solat dan menilai sama ada ia dilakukan pada awal atau lewat waktu.
“Inilah bukti bagaimana kita mengekspoitasi teknologi moden untuk mengukuhkan amalan ibadah dan ianya bukan sekadar jam tetapi panduan harian untuk memperbaiki diri,” katanya. – MalaysiaGazette