saman RCI Tommy
Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Permohonan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas untuk menyingkirkan Hakim Roz Mawar Rozain daripada mendengar kes saman fitnah membabitkan dirinya ditolak Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Ketika ini bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Ab Samad sedang menyaman Tommy dan tiga pihak lain berkaitan sekeping cek RM1 juta yang diterima olehnya daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi tujuan kerja pemulihan projek perumahan Puri Langkasuka di Larkin, Johor.

Roz Mawar ketika membacakan keputusan ringkasnya berkata, permohonan Tommy tidak mempunyai asas kukuh termasuklah dakwaan kononnya hakim bicara itu telah membuat dapatan bercanggah dalam saman fitnah tersebut.

Katanya, sejak kebelakangan ini, ada tindakan segelintir yang bertindak memfailkan permohonan penarikan diri hakim sehingga mewujudkan rasa tidak yakin umum terhadap badan kehakiman negara.

“Alasan yang dikemukan agak sambil lewa dan remeh serta tidak kukuh. Ini juga satu tindakan seperti menghina mahkamah, tidak hormat,” tegasnya.

Roz Mawar juga memerintahkan Tommy membayar kos sebanyak RM20,000 kepada pihak plaintif dan menetapkan 4 Mac depan mendengar permohonan menangguhkan perbicaraan kes saman fitnah itu bagi merayu terhadap keputusan hari ini.

Untuk makluman, sebelum ini, Roz Mawar telah menolak permohonan Tommy membatalkan saman itu pada Julai tahun lalu. 

Perbicaraan penuh akan bermula selama tujuh hari antara 9 hingga 12 Mac dan 27 hingga 29 April 2026.

Mahkamah Tinggi sebelum ini yang pernah membicarakan Shahrir telah melepas dan membebaskan ahli politik veteran itu daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Shahrir kemudian menyaman Tommy atas dakwaan telah menyalahgunakan kuasanya dengan mendakwanya sebelum ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here