KUALA LUMPUR – Sistem pembayaran kutipan tol secara aliran bebas pelbagai lorong (MLFF) masih lagi diteliti.
Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, maklumat mengenai MLFF akan dimasukkan dalam Kertas Jemaah Menteri dan akan dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat.
Beliau menegaskan, Kementerian Kerja Raya tidak mahu tergesa-gesa melaksanakan sistem kutipan itu.
“Buat masa sekarang masa untuk memperhalusi maklumat yang ada dimasukkan ke dalam Kertas Jemaah Kabinet dan akan dibawa kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat untuk perhalusi.
“Keputusan ialah bagaimana kita membuat pilihan untuk laksanaan MLFF, ada beberapa peringkat.
“Kita cuba Januari ini…tak mahu tergesa-gesa (sebab MLFF) ini penting,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kerja Raya di sini hari ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan sebelum ini dilaporkan berkata, keputusan mengenai penggunaan sistem pembayaran MLFF dijangka dimuktamadkan bulan ini.
Beliau berkata, cadangan pelaksanaan MLFF itu kini masih dalam pertimbangan teliti kementerian selain perlu mendapatkan persetujuan syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat.
Sebelum ini, Alexander Nanta mengakui terdapat kira-kira 13 daripada 33 syarikat konsesi lebuh raya tidak bersetuju dengan pelaksanaan sistem MLFF.
Untuk rekod, kerajaan melalui KKR berhasrat memperkenalkan MLFF iaitu konsep plaza tol tanpa palang dalam usaha menambah baik sistem kutipan tol sekali gus melancarkan transaksi pembayaran tol.
Melalui sistem itu, pengguna tidak perlu lagi memberhentikan atau memperlahankan kenderaan ketika membuat bayaran tol seperti dilaksanakan di negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Singapura.- MalaysiaGazette