KUALA LUMPUR – Mayat dipercayai lelaki tempatan ditemui terapung di dalam sungai berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, Pantai Dalam hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur (PGOKL) memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.34 pagi.
Susulan itu, seramai tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai diketuai Komandar Operasi, Ramli Mohamad dikejarkan ke tempat kejadian.
“Sebaik pasukan bomba tiba di lokasi mendapati, terdapat mayat seorang lelaki sedang terapung di dalam sungai.
“Tindakan operasi menggunakan peralatan tali dan stretcher bagi membawa naik mayat ke tebing sungai dan berjaya dilakukan pada pukul 12.33 tengah hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, semakan mendapati tiada maklumat lain dapat dikenal pasti pada mayat itu dan telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette