KUALA LUMPUR – MCA hari ini menggesa agar kerajaan melakukan siasatan terhadap penjualan saham Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 2023.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, langkah menjual saham MAHB itu menyaksikan KWSP hanya memegang lima peratus pegangan saham dalam MAHB.
Malah langkah membeli 25 peratus pegangan saham lagi dalam MAHB bagi mencapai kepentingan 30 peratus juga tidak masuk akal untuk usaha mengswastakan MAHB.
“Sebagai jurucakap rakyat, saya mohon kerajaan menyiasat penjualan saham MAHB oleh KWSP sepanjang tahun 2023. Ini kerana ia membabitkan dana rakyat yang merupakan pencarum KWSP,” katanya dalam satu video di Facebooknya hari ini.
Tegas Ka Siong, beliau betul-betul tidak memahami langkah terkebelakang ini yang jelas akan menimbulkan kemarahan rakyat terutamanya 16.1 juta pencarum KWSP.
“Kenapa KWSP kena jual saham mereka pasal harga rendah iaitu RM6.74 seunit pada harga paling rendah sepanjang 2023 di mana ia berlaku pada 6 Januari 2023 sehingga julatnya RM7.70 seunit pada 1 September 2023 iaitu di mana ia adalah nilai paling tinggi sepanjang tahun itu.
“(Kemudian) beli balik beberapa bulan kemudian pada harga RM11 sesaham hanya beberapa bulan melalui General Offer (GO) seperti mana yang kita tahu,” katanya.
Jelas Ka Siong, ia bermakna KWSP membayar tambahan RM539 hingga RM696 juta bagi membeli balik saham tersebut.
Semakan harga pasaran bagi seunit saham MAHB pada 10 Januari adalah pada paras RM10.86.
Mengulas lanjut, langkah tersebut mungkin ada berlakunya ketidaktelusan atau keutamaan pihak tertentu.
“Kena ingat ini membabitkan wang pencarum KWSP. Saya nak tanya mana orang bijak pandai dalam pengurusan badan penting negara ini? Ini bukan perkara main-main, ini mengenai kepentingan 16.1 juta pencarum KWSP,” tegasnya.
Semalam, badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam Malaysia akan menghantar memorandum membantah cadangan penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dikawal BlackRock.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hasan Syed Ali berkata, penyerahan memorandum ke ibu pejabat Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) itu akan diadakan pada Jumaat ini. – MalaysiaGazette