Aznan melihat peralatan menangkap ikan yang rosak semasa melawat kawasan Sungai Musoh, di Pengerang, hari ini

PENGERANG – Fenomena air pasang besar dan angin kencang yang berlaku di kawasan Sungai Musuh di sini semalam mengakibatkan kerosakan dan kerugian kepada nelayan serta peniaga.

Insiden pada awal pagi tersebut berlaku di sekitar kawasan berkenaan yang dijadikan tapak perkhemahan dan tempat rekreasi.

Ketua Komuniti Nelayan Sungai Musuh, Mohammad Jaffar berkata, lima nelayan antara paling teruk terjejas apabila mengalami kerugian masing-masing lebih RM1,000 hingga RM10,000.

Jelasnya, pelbagai barangan dan kelengkapan menangkap hasil laut rosak dan hilang akibat dibadai ombak besar dan dipukul angin kencang.

“Sejak bulan lalu, situasi ombak besar dan angin kencang itu berlaku beberapa kali, namun apabila memasuki gelombang kedua, ia lebih teruk dan luar biasa.

“Pukul 1 pagi semalam, saya dah lihat jadual air dan maklumkan kepada komuniti nelayan bahawa air agak besar, ada juga yang turun ke laut, tetapi tidak boleh buat apa, jadi kita semua siap sedia di sini.

“Bila ombak besar hampir 3.2 meter, ditambah pula angin yang kuat, banyak barang kita alami kerosakan termasuk bubu udang, jaring tagan, jaring berhanyut dan jaring umpan.

“Bot-bot nelayan kita letak di Jeti LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia) yang terletak kira-kira 200 meter dari sini, ada satu yang bocor. Bot masih sempat diselamatkan tapi barangan lain tidak sempat.

“Pontoon yang kita letak barang-barang semua terlepas daripada ikatan di tiang sebab tiang patah dan ada yang condong kerana air besar,” katanya ketika ditemui di Sungai Musoh di sini hari ini.

Mohammad berkata, dia dan beberapa lagi nelayan berada di lokasi kejadian ketika itu, namun tidak dapat berbuat apa-apa bagi menyelamatkan harta benda mereka.

Dia dan nelayan lain yang terjejas berharap ada pihak yang prihatin membantu mereka berdepan ujian tersebut.

“Harap ada pihak yang boleh turun lihat apa nelayan alami di sini, harap dapat bantu segera kerana kami semua mahu turun semula ke laut, mungkin pada Mac selepas monsun ini berakhir,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin berkata, fenomena yang berlaku menyebabkan nelayan dan peniaga di lokasi itu mengalami kesan yang agak teruk.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, hadir melawat lokasi kejadian dan bertemu nelayan terjejas, sebelum bersetuju menghulurkan bantuan segera bagi menyelesaikan masalah yang berlaku.

Mereka ujarnya, tidak dapat turun ke laut dan mengalami kerugian agak besar dan untuk itu pihaknya cuba mencari ruang untuk bantu mereka.

“Bantuan akan diberikan di peringkat pejabat saya, kita juga akan bantu dapatkan bantuan dari kerajaan negeri,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here