KOTA TINGGI – Mangsa banjir di daerah ini bimbang dan seakan trauma untuk berdepan gelombang kedua banjir di Johor yang dijangka melanda mulai esok sehingga Sabtu ini.
Mangsa banjir, Azrin Iskandar, 37, dari Taman Aman, berharap gelombang kedua tidak berlaku kerana kebanyakan daripada mereka masih lagi terkesan dengan gelombang pertama banjir.
Juruteknik kilang itu berkata, kemusnahan harta benda dan kerugian akibat gelombang pertama banjir masih belum diuruskan dan kini terpaksa berdepan gelombang kedua pula.
“Dalam keadaan mangsa banjir masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) dan dibenarkan pulang sekejap untuk membersihkan rumah, kami dimaklumkan akan ada gelombang kedua pula.
“Kami harap ini tidak berlaku, namun saya sudah sudah berkemas dengan meletakkan barang-barang di tempat tinggi sebagai persediaan menghadapi gelombang kedua banjir.
“Banjir kali ini berlaku secara mengejut dan air naik mendadak,” katanya ketika ditemui di PPS di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SJKC) New Kota di sini hari ini.
Kelmarin, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, gelombang kedua banjir di Johor dijangka melanda esok hingga Sabtu ini.
Onn Hafiz memberitahu, ramalan itu berdasarkan jangkaan dimaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia sekali gus menyeru seluruh rakyat Johor waspada dan mendengar arahan pihak berkuasa.
Bercerita lanjut, Azrin berkata, biasanya sebelum berlaku banjir di taman tersebut, empat siren akan dibunyikan secara berperingkat-peringkat sebagai langkah persediaan sebelum diarah berpindah.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, siren pertama dibunyikan bagi memaklumkan penduduk bahawa paras sungai berdekatan sudah naik, mereka akan berkemas dan membuat persiapan banjir.
Katanya, namun kali ini siren tidak kedengaran kerana air naik secara mendadak mengakibatkannya tidak sempat memindahkan barang dalam rumah sehingga banyak yang mengalami kerosakan.
“Semasa kejadian saya tiada di rumah dan siren tidak berbunyi. Isteri saya maklumkan parit dan sungai berdekatan juga tidak naik, jadi kami tak kelam kabut sangat.
“Namun banjir berlaku tiba-tiba kerana air dari tempat lain turun ke taman ini dalam keadaan hujan lebat. Air banjir datang dari arah belakang rumah,” dakwanya.
Nuratika Kamaruddin, 22, dari Taman Mawai, tidak sanggup berdepan gelombang kedua banjir yang akan menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk namun pasrah sekiranya berlaku.
“Perkakas dan barang dalam rumah banyak yang rosak semasa gelombang pertama banjir. Abang saya sudah meletakkan barang-barang di tempat tinggi tetapi air naik sehingga lebih setengah meter.
“Ini mengakibatkan barang-barang tumbang dan masuk dalam air banjir, kerugian lebih RM3,000. Barang-barang di rumah kami sudah tidak banyak kerana rosak akibat banjir sebelum ini,” katanya.
Suri rumah itu berkata, dia, suami dan anaknya berusia empat bulan serta ibu bapa termasuk adiknya sudah berlindung di PPS berkenaan sejak lima hari lalu.
“Kelmarin mangsa banjir di PPS ini dibenarkan pulang sekejap untuk membersihkan rumah, abang saya ambil peluang buang barang-barang yang rosak dan cuci lumpur,” ujarnya.
G Sivabakeyam, 43, dari Taman Aman, banjir kali ini mengakibatkan perkakas dalam rumah dan kereta rosak akibat ditenggelami banjir kerana air naik begitu cepat.
“Ketika kejadian saya dan suami keluar bekerja manakala dua anak tiada di rumah. Banjir berlaku cepat dan kami tidak sempat memindahkan barang-barang dan kereta Perodua Kancil tenggelam.
“Kami masih bingung dengan kejadian yang berlaku dan tiada persediaan langsung berdepan gelombang kedua banjir,” ujarnya yang bekerja di sebuah restoran.
Kew Yuet Li, 46, dari Taman Aman,yang sudah berlindung di PPS berkenaan sejak empat hari lalu berharap akan dapat pulang ke rumah secepat mungkin.
Dia yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dan mempunyai tiga anak mengetahui gelombang kedua banjir hari ini serta berharap tidak seteruk gelombang pertama banjir.- MalaysiaGazette