BANGI – Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan platform digital bagi membolehkan petugas kesihatan yang mempunyai jawatan sama di dua lokasi berbeza melakukan penukaran penempatan secara kaedah ‘suka sama suka’ akan dilaksanakan pada suku keempat tahun ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, platform itu merupakan salah kaedah untuk menangani isu sumber manusia dalam menjaga kebajikan kakitangan KKM.
“CodeBlue telah menyebut hal itu dan kita bersetuju kerana satu cara menangani isu sumber manusia dan sedang kita perbincangkan secara hangat.
“Harap kita dapat satu rumus satu platform penukaran penempatan secara kaedah ‘suka sama suka’ ini iaitu doktor dengan doktor dan tidak boleh dengan jururawat atau pakar.
“Kita mahu perkara ini diberikan sebaiknya (perhatian) demi kebajikan petugas penjagaan kesihatan kita secara serius dan berharap platform ini dapat disediakan pada suku keempat tahun ini dan kita berusaha ke arah itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampai ucaptama dan penutup untuk Simposium ‘Shariacare: Merintis Kesihatan Dengan Nilai-Nilai Syariah di sini hari ini.
Dr Dzulkefly diminta mengulas kenyataan laman sesawang CodeBlue yang melaporkan, Sistem Pertukaran Suka Sama Suka membolehkan petugas kesihatan di bawah skim sama untuk bertukar sesama sendiri tanpa membabitkan Bahagian Sumber Manusia (BSM).
CodeBlue memetik kenyataan Timbalan Ketua Setiausaha Kewangan KKM, Datuk Seri Norazman Ayob ketika sesi town hall di ibu pejabat KKM di Putrajaya semalam berhubung Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam KKM.
“Sebagai contoh, seorang jururawat di Hospital Serdang yang ingin pulang ke Kelantan manakala terdapat seorang lagi jururawat di Kelantan yang ingin berpindah ke Selangor. Kedua-duanya boleh mendaftar dalam sistem ini.
“Apabila kedua-dua pihak bersetuju, mereka akan memaklumkan kepada BSM dan mengisi borang. Terdapat beberapa syarat, contohnya, skim (pegawai) dalam pertukaran itu mesti sama, ia tidak boleh membabitkan jururawat dengan pembantu perubatan atau pakar kardiologi dengan pakar oftalmologi,” katanya.
Norazman yang juga Ketua Pegawai Reformasi KKM, mengakui terdapat banyak aduan daripada petugas kesihatan, termasuk daripada Hartal Doktor Kontrak (HDK), berkaitan penempatan. – MalaysiaGazette