Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Habil Halimi

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap KK Mart dan pengilang sandwich ‘Ham and Cheese’ ‘halal’ kerana mencetak logo halal tanpa memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Ketua Penerangannya, Habil Halimi berkata, polis perlu menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil.

“Isu ini membangkitkan kebimbangan terhadap kepercayaan umat Islam dalam status halal produk yang dibeli.

“Penggunaan logo halal tanpa kebenaran bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi turut mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan produk sandwich ham yang dijual di sebuah premis di Universiti Malaya (UM) tidak mempunyai SPHM.

Jakim juga mengesahkan syarikat yang membekalkan produk terbabit bukan pemegang SPHM.

Awal pagi semalam, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh mengecam KK Mart kerana didakwa menjual produk sandwich ham yang dikaitkannya dengan daging babi.

Dalam pada itu, Habil menegaskan semua pihak berkaitan termasuk pengilang dan pengedar perlu bertanggungjawab memastikan produk mereka mematuhi peraturan dan menghormati sensitiviti pengguna.

“Prinsip Rukun Negara ‘Kepercayaan kepada Tuhan’ mengingatkan kita tentang pentingnya hidup harmoni dengan saling menghormati kepercayaan setiap individu.

“Sebagai sebuah negara majmuk, sensitiviti agama perlu dihormati, manakala sebarang provokasi atau tindakan melulu yang berpotensi mencetuskan ketegangan kaum dan agama harus dielakkan,” katanya.

Katanya, orang ramai diseru untuk menggunakan aplikasi dan portal Halal Malaysia bagi menyemak status halal produk serta melaporkan sebarang unsur penipuan kepada pihak berkuasa.

“Kepercayaan penuh perlu diberikan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang.

“Marilah terus bersama-sama memperkukuh keharmonian masyarakat dan menjaga perpaduan yang menjadi asas kekuatan negara kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here