Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail

LAHAD DATU – Tindakan seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dan menyamun penduduk Ladang Felda Sahabat membawa padah apabila dicekup dalam satu serbuan di Kampung Tanjung Labian di sini Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai aktiviti jenayah itu pada Jumaat lalu.

“Bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tanjung Labian, Lahad Datu Sabah semalam.

“Hasil serbuan, polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Dzulbaharin, hasil siasatan awal mendapati, suspek dipercayai pernah berkhidmat sebagai anggota polis bantuan di Ladang Felda Sahabat Kembara Sakti, Tambisan.

“Suspek juga memiliki pakaian polis serta senjata berbahaya iaitu senapang guli ketika ditahan,” katanya.

Katanya, semakan polis juga mendapati, suspek pernah melakukan beberapa kes peras ugut sebelum ini.

“Suspek menyamar sebagai polis dan menyamun orang untuk dapat duit. Alhamdulillah terima kasih masyarakat Felda telah menggunakan sistem media untuk berkomunikasi dengan orang awam,” katanya.

Katanya lagi, suspek kini direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan samun tanpa senjata dan Seksyen 170 kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 8 (a) kesalahan memiliki senjata senapang angin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here