KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan dengan pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Difahamkan, seramai 12 individu ditahan hasil serbuan di 24 lokasi melalui Ops Sky yang dijalankan meliputi rumah kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang semalam.
Mereka yang ditahan termasuk dua pengarah syarikat perunding kewangan serta masing-masing seorang pengarah yayasan, pengurus dan bekas pengurus jualan institusi perbankan.
Semua 12 yang ditahan ditahan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan beberapa institusi kewangan tempatan di sekitar Lembah Klang itu dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini untuk proses tahanan reman.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, semua 12 suspek terbabit direman lima hari sehingga 18 Januari depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
“Perintah reman terhadap 10 suspek lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 40-an dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas SPRM membuat permohonan Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Azam berkata, siasatan awal mendapati ada pegawai di beberapa institusi perbankan menerima rasuah daripada pegawai syarikat perunding kewangan sebagai balasan untuk membantu memproses dan meluluskan pinjaman peribadi pelanggan yang dikenal pasti mempunyai hutang lapuk.
“Pegawai-pegawai bank mengenal pasti pelanggan terdiri penjawat awam yang mempunyai hutang lapuk, seterusnya diperkenalkan kepada syarikat perunding kewangan yang akan menawarkan bantuan skim multiple loan.
“Syarikat perunding kewangan ini dipercayai akan membantu menyediakan dokumen yang mengandungi maklumat palsu yang akan dihantar ke beberapa institusi kewangan untuk mendapatkan pinjaman.
“Hasil siasatan menunjukkan syarikat perunding akan mendahulukan wang kepada peminjam untuk melangsaikan hutang itu dan setelah pinjaman diluluskan, peminjam akan membayar balik pendahuluan itu, manakala baki pinjaman dilaburkan dalam satu skim pelaburan,” katanya lagi.
Azam berkata, hasil Ops Sky itu, SPRM membekukan 70 akaun syarikat dan individu membabitkan nilai lebih RM16.2 juta.
Beliau berkata, SPRM turut menyita sembilan kenderaan pelbagai jenama terdiri Ferrari F8 Spider, Lexus RC300, Mercedes-Benz GLC43, BMW, Toyota Alphard, Mazda dan Honda.
SPRM turut menyita wang tunai lebih RM300,000 selain mata wang Hong Kong (HKD)95,000 (RM54,985), 17 jam tangan mewah dianggarkan berjumlah lebih RM11.1 juta, lima unit beg tangan berjenama dianggarkan bernilai lebih RM430,000, lima set barang kemas dianggarkan berjumlah lebih RM50,000 serta dua unit komputer riba dan dua unit tablet.
Sejak Mei lalu, ada media melakukan beberapa siri pendedahan mengenai kepincangan dalam sistem kewangan negara yang mengakibatkan jenayah kewangan berleluasa.
Ini termasuk pendedahan mengenai BNM yang mengesan sekurang-kurangnya dua kesalahan utama sering dilakukan institusi kewangan negara iaitu berkaitan kegagalan menjalankan penilaian wajar terhadap pelanggan (CDD) serta kegagalan menjalankan saringan sekatan pada saat penerimaan pelanggan.
Azam Baki sebelum ini turut mendedahkan, modus operandi jenayah itu menjadi semakin hebat selari perkembangan semasa dunia.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut mendedahkan, jenayah kewangan kini dikesan berselindung di sebalik skim piramid sebagai platform memperdaya rakyat Malaysia menerusi penyediaan aplikasi khusus, kononnya bagi kemudahan ahlinya berbelanja.
Malah pada Disember lalu, SPRM melalui Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, mencadangkan satu rangkaian berpusat membabitkan beberapa agensi utama diwujudkan segera dalam menangani jenayah kewangan yang semakin mencabar sehingga menyebabkan kerugian lebih besar kepada negara.
Rangkaian bersepadu perlu menyatukan institusi kewangan, agensi kawal selia dan agensi penguatkuasaan selain agensi swasta supaya usaha memerangi jenayah rasuah, kewangan dan pengubahan wang haram dilaksana dengan lebih menyeluruh dan berkesan selain mengelak pertindihan peranan antara agensi berkaitan. – MalaysiaGazette