Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berucap pada Majlis Amanat Perhimpunan Bulanan AADK di Ibu Pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan, Maktab Perguruan Islam Kajang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 JANUARI 2025

KAJANG – Cadangan supaya saringan air kencing dijadikan antara prosedur operasi standard (SOP) kepada pengunjung konsert adalah tidak praktikal, kata Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, program pencegahan adalah perkara yang lebih ampuh dalam menangani gejala dadah daripada terus merebak di negara ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan kerajaan sama ada Persekutuan atau negeri untuk bekerjasama dengan agensi tersebut dalam melaksanakan pelbagai program pencegahan dadah. 

“Konsert ini bukannya satu dewan, tapi satu stadium. Apa yang perlu fokus sekarang ini adalah program pencegahan, saya lihat program pencegahan lebih ampuh.

“Sekarang kita perlu laksanakan program pencegahan walau bagaimanapun untuk secara rambang dan itu kita laksanakan,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Amanat Ketua Pengarah AADK dan Perhimpunan Bulanan di ibu pejabat agensi itu, hari ini.

Ruslin berkata demikian mengulas cadangan kerajaan Selangor supaya ujian air kencing dilaksanakan sebagai salah satu SOP kepada pengunjung konsert bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berulang.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, syor tersebut adalah satu daripada beberapa perkara yang bakal dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata, proses bagi pengambilan sampel air kencing juga bukan boleh dilakukan sembarangan dan memerlukan proses bagi menentukan sama ada ujian itu positif mahupun negatif dadah.

“Kita fokus kepada kempen pencegahan dulu, itu yang paling penting dulu kita buat masa ini,” katanya.

Sebelum ini, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) berpendapat syor Kerajaan Selangor untuk mengadakan ujian air kencing sebagai antara SOP kepada pengunjung konsert tidak praktikal.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez turut menyifatkan proses ujian air kencing memerlukan tenaga kerja yang besar dan mengambil masa lama untuk dilaksanakan sebelum konsert berlangsung.

Empat individu berusia lingkungan 20 hingga 40-an termasuk dua wanita maut selepas menghadiri Konsert Pinkfish di Bandar Sunway, Subang Jaya, pada ambang tahun baharu disyaki terbabit dalam pengambilan dadah jenis ekstasi.

Selain empat mangsa terbabit, terdapat tiga lagi mangsa lain yang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here