KUALA LUMPUR – Teguran Ketua Pemuda DAP (DAPSY), Woo Kah Leong agar Dr. Muhamad Akmal Saleh tidak menggunakan isu penjualan sandwich ham yang menggunakan logo halal secara tidak sah untuk kepentingan politik peribadi beliau adalah sesuatu yang wajar.
Naib Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Iskandar Fareez berkata, pemimpin Pemuda UMNO perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyiasat supaya tindakan tegas dapat dikenakan kepada peniaga dan pembekal yang menipu pengguna.
Katanya, kenyataan Kah Leong dengan jelas adalah satu teguran untuk pemimpin pemuda menurunkan suhu politik dan bukannya menjadi politikus yang mengambil kesempatan mengeruhkan keadaan.
“Saya merasa terpanggil untuk mengulas mengenai kenyataan balas Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh dan Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin terhadap teguran oleh Ketua DAPSY Malaysia, Sdr Woo Kah Leong.
“Isu penjualan pek sandwic di KK Mart sudah pun diambil tindakan awal oleh pihak universiti dengan arahan penutupan serta-merta. Pihak JAKIM pula telah pun menjalankan siasatan ke atas pihak pembekal sandwic tersebut.
“Apakah kita mahu mencetuskan perpecahan dengan menimbulkan syak wasangka antara kaum, kononnya ada muslihat sehingga Ketua Pemuda UMNO menyebut tentang ‘luka lama’ yang belum sembuh?” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Iskandar yang juga Ketua DAPSY Bukit Bintang turut menegur Hafiz agar tidak terlalu mudah sentap hingga setiap teguran baik dilihat sebagai serangan.
Beliau turut meminta agar mereka cermin diri sendiri dan Ketua Pemuda UMNO yang dilihat lebih gelojoh menyerang sehinggakan tumpuan bukan lagi kepada usaha untuk mengenal pasti punca bagaimana kesilapan itu boleh berlaku.
“Siapa pembekal yang terlibat, siapa di pihak pembekal dan siapa di pihak peniaga yang bertanggungjawab?
“Mengapa tiada proses semakan yang dilakukan? Soalan-soalan ini wajar ditanya tanpa mengapi-apikan sentimen mana-mana pihak,” ujarnya.
Tambah beliau, semua pihak sememangnya menyokong agar tindakan undang-undang yang tegas dikenakan terhadap peniaga yang menipu.
“Saya menggesa semua pihak agar meletakkan kepercayaan kepada agensi-agensi penguatkuasaan kerajaan bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka,” jelasnya. – MalaysiaGazette