Irwan Fahmi Ideris

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyarankan Universiti Malaya (UM) mencari pembekal baharu dan menyenarai hitamkan barangan daripada Syarikat KK Mart untuk dijual di universiti itu.

Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris berkata, pihaknya turut menggesa supaya mana-mana pihak unversiti yang masih menggunakan pembekal daripada KK Mart agar membuat keputusan untuk memboikot apa jua barangan yang datang dari syarikat tersebut.

Malah katanya, Perkasa mahu tindakan tegas dikenakan terhadap KK Mart kerana telah menggunakan sijil halal palsu bagi mengaburi mata pengguna dan ia dibuktikan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ketika membuat pengesahan status halal produk pek sandwich.

“Perkasa mengecam tindakan KK Mart yang dikatakan membekal sandwich yang diragui status halal di premis perniagaan dalam kawasan UM.

“Pendedahan ini juga telah dibuat dengan laporan polis oleh pelajar-pelajar yang telah meragui status makanan tersebut. Pembekal tersebut telah menyalahgunakan sijil halal yang tertera pada produk berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu Irwan Fahmi turut menggesa, pihak kerajaan supaya memainkan peranan untuk mengharamkan kedai serbaneka KK Mart kerana jelas telah menghina kesucian agama Islam apabila menggunakan logo halal pada makanan yang mempunyai bahan diragui.

“Cukuplah selama ini KK Mart telah melukakan hati Umat Islam dengan stoking ada kalimah Allah, kini pula muncul luka baru.

“Yang sudah tentu Umat Islam di negara ini tidak boleh menerimanya dan kita menggesa supaya umat Islam mamboikot serta menyeru kerajaan untuk membatalkan lesen perniagaan atau permis KK Mart ini supaya tidak beroperasi lagi.

“Harapan Perkasa, biarlah kita teruskan komitmen untuk terus memboikot mana-mana syarikat yang telah menghina agama Islam sebagai satu pengajaran supaya menghormati rakyat majoriti di negara ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here