Gambar Hiasan

JOHOR BAHRU – Seorang bekas jurutera rugi RM9.5 juta selepas menyertai pelaburan mata wang kripto secara dalam talian akibat gelap mata tawaran pulangan dengan kadar tinggi dan keuntungan mudah.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, semuanya bermula apabila mangsa iaitu lelaki tempatan berusia 63 tahun tertarik dengan iklan pelaburan kripto dalam laman sosial pada Julai lalu.

“Pelaburan tersebut menjanjikan pulangan tinggi dengan mudah dan dalam masa singkat. Mangsa menekan pautan yang diberikan untuk mendapat maklumat lanjut.

“Mangsa kemudian dimasukkan dalam satu kumpulan WhatsApp. Lelaki itu kemudian dihubungi dua individu dan diberikan penerangan berkaitan cara-cara melabur dengan keuntungan 50 kali ganda daripada jumlah yang dilaburkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Kumar, mangsa yang berminat dengan tawaran telah memuat turun dan mendaftar akaun pelaburan dalam aplikasi diarahkan bertujuan untuk memantau pelaburan yang dibuat.

Seterusnya antara Oktober hingga Disember lalu mangsa membuat 29 transaksi pembayaran dalam 11 akaun bank yang berbeza berjumlah RM9,474,310.

“Mangsa telah menyemak aplikasi dimuat turun dan mendapati pelaburannya telah mencatatkan keuntungan RM88 juta,” katanya.

Mangsa berhasrat untuk mengeluarkan keseluruhan wang pelaburan tersebut namun diarahkan untuk membuat pembayaran berjumlah RM800,000.

Warga emas berkenaan, katanya, enggan membuat pembayaran tersebut dan percaya telah ditipu setelah kedua-dua individu yang mangsa berurusan sebelum ini gagal dihubungi.

“Mangsa seterusnya membuat laporan polis hari ini dengan kerugian dialami RM9,474,310,” katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu yang memperuntukkan hukuman penjara satu hingga 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Beliau menyeru dan menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan dalam media sosial dan secara dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dengan mudah dan dalam masa singkat.

“Orang ramai disaran membuat semakan dengan agensi berkaitan seperti polis, Bank Negara atau Suruhanjaya Sekuriti bagi mendapatkan kepastian dan maklumat lanjut berkenaan pelaburan yang ditawarkan,” tambahnya.-  MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.