BANGI – Selepas 13 tahun tidak diadakan Hari Keluarga atas pelbagai kekangan termasuk pandemiK Covid-19, akhirnya penduduk Seksyen 7/3, Bandar Baru Bangi memeriahkan kembali aktiviti tu, Ahad lalu.
Hampir 300 penduduk semua peringkat usia berkumpul dan menyertai pelbagai acara yang diadakan seawal jam 8 pagi dan berakhir jam 1 tengah hari.
Kali ini lebih istimewa kerana akitiviti itu diadakan dengan kerjasama penuntut tahun tiga Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Pengerusi Persatuan Penduduk kawasan berkenaan, Kolonel (B) Abdul Samad Tahir, berkata penuntut terbabit menyusun program berkenaan dengan bantuan persatuan.
“Penyertaan penduduk sangat menggalakkan dan ini bukan soal kalah menang dalam acara yang diadakan tetapi soal ukhwah. Ini paling penting,” katanya.
Menurutnya, acara ini mungkin akan dijadikan acara tahunan memandangkan sambutan menggalakkan daripada penduduk.
Hari Keluarga berkenaan turut dihadiri Ahli Undangan Negeri Sungai Ramal, Shafie Ngah yang juga ahli kejiranan 7/3.
Sementara itu, Ketua Pengarah Program, Norshuhadha Abu Bakar berkata, ini adalah projek komuniti yang cukup baik untuk beliau dan rakan penuntut fakulti.
“Ini program pertama kami bersama komuniti luar, biasanya program kami hanya membabitkan warga UKM saja” katanya.
Beliau berkata, hampir sebulan masa diambil untuk mengatur dan menyusun permainan yang sesuai dengan semua peringkat umur penduduk.
“Sebanyak sembilan permainan diadakan dan semuanya menyeronokkan di samping menanamkan semangat kerjasama kejiranan,” katanya.
Selain permainan seperti kereta api angin, bawa bola ping pong dengan sudu, memakai kain pelikat dan batik tanpa menggunakan tangan, cabutan bertuah turut diadakan. – MalaysiaGazette