KUALA LUMPUR – Lima individu dikenakan reman hari ini oleh  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam penipuan melibatkan dana pelaburan orang awam.

Menurut sumber, perintah reman selama tujuh hari sehingga Selasa depan dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Menurut sumber, kelima-lima suspek termasuk empat ahli lembaga pengarah syarikat yang berusia lingkungan 50 sehingga 60-an telah ditahan kira-kira jam 7 petang pada Selasa ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya.

“SPRM telah menerima beberapa aduan dan maklumat berkaitan kegiatan berunsur jenayah yang dilakukan oleh sebuah syarikat pemegang amanah berlesen di bawah Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Syarikat tersebut didapati menggunakan dana yang dikumpul daripada pelabur untuk kepentingan peribadi dan bersama individu yang bersekongkol dalam kegiatan jenayah ini,” katanya hari ini.

Tambah sumber, dana sebanyak RM104 juta dikesan daripada syarikat tersebut ke beberapa syarikat persendirian yang dimiliki oleh proksi.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut dibuat dalam satu operasi digelar Op Trust dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Katanya, modus operandi yang dijalankan dalam kegiatan itu memerlukan kepakaran yang tinggi bagi pegawai SPRM untuk menjejak aliran kewangan.

“Siasatan yang dijalankan ini juga bertujuan membantu kerajaan mengukuhkan kepercayaan awam terhadap badan pengawal selia yang mengeluarkan lesen untuk syarikat-syarikat pemegang amanah.

“Selain itu, dalam masa sama dapat mewujudkan platform yang bersih dan selamat untuk bakal pelabur,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here