ROMPIN – ”Siapa sangka balak boleh terapung lalu di tepi rumah akibat dipukul ombak kuat”.
Demikian ujar mangsa yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Jawa, di sini, Asrulnizam Abdul Rahman, 48, akibat fenomena air pasang setinggi 3.5 meter yang bermula sejak Ahad.
Ujarnya, akibat ombak besar dan kuat, kesemua 14 kediaman PPRT dimasuki air laut dari paras lutut sehingga pinggang.
”Kejadian tersebut menyebabkan boleh nampak balak lalu belakang rumah, air laut masuk ke dalam rumah dan pokok rhu dah tumbang.
”Ini kejadian paling buruk berlaku. Sebelum ini masih ada pokok dan balak menahan ombak tapi kali ini semua tak ada,” ujarnya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Tambah Asrul Nizam, penduduk yang terjejas khuatir akan keselamatan mereka dan berharap kerajaan dapat membantu menyelesaikan isu hakisan pantai di kawasan Pantai Kampung Jawa, di sini.
Jelasnya yang sudah lapan tahun mendiami rumah PPRT di kawasan itu, isu hakisan pantai tahun ini kian memburuk lebih-lebih lagi apabila angin kuat dan air pasang besar baru-baru ini.
Beliau berharap kerajaan dapat membantu menyelesaikan permasalahan hakisan pantai dan dengan pembinaan tembok atau benteng di kawasan persisiran apabila terjadi kejadian air pasang.
”Hakisan bukan sahaja pantai dekat rumah, pantai di kawasan Sungai Lumpur sampai bawa ke sebelah ke sana, hakisan tetap akan berlaku jika tiada preventif.
”Kalau ada penghadang dapat menghalang hakisan dan air pasang besar, dan hakisan lama-lama makin teruk. Kami tidur tak lena.
”Tahun lepas tidak sampai berpindah, kami selesaikan sendiri. Ini kali pertama kami menyuarakan pemasalahan kami,” katanya.
Senada dengan itu Rohana Harun,48, berkata, sudah lapan tahun berdepan dengan fenomena air pasang namun ini kejadian terburuk sehingga terpaksa berpindah ke PPS.
Rohana berharap kerajaan mempercepat usaha membantu menangani isu berkenaan kerana ia melibatkan faktor keselamatan.
”Air pasang memang terjadi setiap tahun namun tidak seperti kali ini. Ada jiran lagi teruk sehingga musnah semuanya.
”Kami harap pihak kerajaan tolong buat benteng untuk kami, kalau arah berpindah kami tidak punyai tanah untuk bina rumah,” katanya.
Sementara itu Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan, Datuk. Ir. Razali Kassim berkata, pihaknya bersedia untuk membangkitkan perkara berkenaan ke dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri bagi memohon pertimbangan kerajaan negeri dan pusat bagi peruntukkan khas menangani isu berkenaan.
”Kejadian air pasang besar berlaku kali ini agak luar biasa dan tinjauan insiden kali ini buruk sehingga mendatangkan kerosakan harta benda di tempat kediaman mereka.
”Kemudahan awam seperti jalan juga terjejas. Saya selaku wakil kepada kerajaan negeri akan membawa perkara ini ke dalam mesyuarat Exco dan mengharapkan kerajaan negeri memberikan perhatian serius.
”Ia bagi memberi keutamaan kepada kerja untuk pembaikan, dan mempertimbangkan peruntukan khas kepada negeri ini kerana kawasan hakisan bukan sahaja di Nenasi dan Rompin malahan beberapa pantai lain juga,” katanya.
Seramai 146 mangsa akibat tragedi air pasang di Kampung Jawa, membabitkan 42 isi rumah terjejas dan ditempatkan Pusat Pemindadahan Sementara (PPS) Balairaya Kampung Jawa Ahad lalu. – MalaysiaGazette