AirAsia X penumpang
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan AirAsia menyasarkan untuk menerbangkan seramai lima juta penumpang ke Sabah melalui Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau pada tahun ini.

Jumlah itu merupakan dua kali ganda berbanding 3.7 juta ketibaan penumpang yang direkodkan pada tahun lalu.

AirAsia dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, sasaran pertumbuhan itu merangkumi pelancong domestik dan antarabangsa serta memperkukuh kedudukan AirAsia sebagai pemacu kesalinghubungan dan pertumbuhan ekonomi negeri.

Bagi mencapai matlamat itu, tambahnya, rancangan pengembangan AirAsia bagi tahun ini merangkumi peningkatan rangkaian sedia ada yang terdiri daripada 27 laluan termasuk 13 laluan domestik dan 14 laluan antarabangsa ke dan dari Sabah.

“Penambahbaikan ini dijangka akan menyumbang kepada peningkatan 35 peratus dalam jumlah penerbangan kepada lebih 51,500 penerbangan setahun serta pertumbuhan 43 peratus dalam kapasiti tempat duduk kepada 9.8 juta tempat duduk setahun,” demikian menurut kenyataan itu.

Tambahnya, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyatukan ekosistem pelancongan negeri, syarikat penerbangan itu kini sedang mengadakan siri jelajah di seluruh Sabah.

Ia jelasnya, untuk mengeratkan kerjasama dan menyelaraskan usaha bagi menambah baik sektor pelancongan utama seperti penginapan, pengangkutan dan kemudahan akses serta meneroka pelaburan strategik untuk memajukan infrastruktur pelancongan negeri.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aviation Group, Bo Lingam dalam kenyataan sama berkata, Sabah merupakan pasaran penting dalam rangkaian AirAsia dan pihaknya berbangga menjadi syarikat penerbangan terkemuka yang menghubungkan rantau ini ke Malaysia dan pasaran antarabangsa utama.

Ujarnya, sasaran menerbangkan lima juta tetamu ke Sabah disokong oleh pelaburan besar dalam kapasiti operasi untuk meningkatkan penerbangan dan usaha pemasaran bersasar.

Dengan peningkatan ketibaan pelawat, inisiatif-inisiatif itu berpotensi mewujudkan impak pengganda ekonomi yang besar kepada rantau ini dan perniagaan tempatan, didorong oleh rantaian bekalan yang kukuh dan peningkatan perbelanjaan pelancong.

“Pertumbuhan kami di Sabah tidak akan tercapai tanpa kerjasama yang telah kami bina bersama Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan rakan-rakan industri.

“Untuk mengekalkan momentum ini, kami menggalakkan kerjasama yang lebih erat dan insentif bersama daripada pemain utama dalam sektor pelancongan dan hospitaliti, termasuk hotel dan penggiat pelancongan.

“Dengan melabur dalam promosi bersama dan menyokong laluan strategik, kita dapat mempertingkatkan manfaat ekonomi daripada sektor pelancongan untuk Sabah dan mengekalkan trajektori pertumbuhan berterusan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Julinus Jimit berkata, rangkaian luas AirAsia dan pelaburan yang berterusan telah memperkukuh kedudukan Sabah sebagai pintu masuk utama untuk pelancong domestik dan antarabangsa.

“Kami teruja untuk meneruskan kerjasama ini bagi mempertingkatkan tawaran negeri ini dan memastikan bahawa semua pihak berkepentingan bersedia untuk memenuhi peningkatan ketibaan pelancong hasil daripada daripada inisiatif-inisiatif AirAsia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here