Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil sedikit masa untuk berjumpa dengan penyokongnya ketika hadir ke mahkamah pada prosiding kes rayuan akhir berkaitan sabitan dan hukuman penjara penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 23 OGOS 2022. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak menafikan bekas pegawai khasnya, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin dihantar ke China untuk mendapatkan sokongan negara itu menyelesaikan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn. Bhd.

Bekas Perdana Menteri menegaskan, pemergian Amhari bukan untuk menjaga kepentingan peribadi beliau sebaliknya hanya untuk meninjau sama ada China berminat terlibat dalam pembinaan infrastruktur di negara ini.

Beliau berpendapat, dakwaan pihak pendakwaan bahawa China akan menyelamatkan 1MDB dan SRC International sebagai tidak munasabah kerana perkara itu hanya akan membuka kritikan antarabangsa.

Beliau juga tidak bersetuju dengan saranan pendakwaan bahawa pertemuan Amhari dengan delegasi China didalangi ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Najib menjelaskan, kehadiran Amhari hanya pada peringkat permulaan manakala delegasi pelbagai kementerian akan dilibatkan jika negara itu mengesahkan minatnya.

Akram: Saya cadangkan, Datuk Seri mahu Amhari ke sana kerana ia melibatkan kepentingan peribadi?

Najib: Tidak-tidak. Apa yang peribadinya?

Akram: Datuk Seri setuju, perkara sepenting ini yang melibatkan perbincangan mengenai infrastruktur dan projek usahasama, Kementerian Luar sepatutnya dilibatkan sama?

Najib: Tidak setuju kerana kementerian hanya akan terlibat jika China menyatakan minat.

Akram: Setuju bahawa arahan kepada Amhari di kediaman Datuk Seri diberikan secara bersemuka (one to one) kerana jika tidak, ia pasti melibatkan Wisma Putra?

Najib: Saya tidak menganggap ia one to one.

Najib, 71, menyatakan demikian ketika membela diri terhadap empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Pada prosiding soal balas itu, bekas Perdana Menteri turut menyatakan, pemergian Amhari ke China bukan atas misi sulit sebaliknya untuk melakukan tinjauan awal.

Menurut beliau, bekas pegawainya itu tidak terlibat dalam membuat keputusan kompleks.

Akram: Saya cadangkan, berbanding Amhari, ramai lagi pegawai di Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang boleh berurusan di China.

Najib: Tidak setuju kerana ia bergantung kepada bidang tertentu. Saya lihat ini lebih kepada ekonomi, jadi pada peringkat itu, ia tidak melibatkan polisi luar yang memerlukan kehadiran wakil Wisma Putra.

Akram: Datuk Seri setuju perbincangan di China melibatkan isu kewangan, jadi sekurang-kurangnya seseorang yang faham perlu hadir di sana.

Najib: Ini peringkat awal, belum lagi melibatkan isu kewangan.

Akram: Masalahnya, Datuk Seri hantar Amhari seorang diri ke sana, takkan hendak biar dia sorang-sorang? Kita kena jaga keselamatan juga?

Najib: Saya pernah ke China beberapa kali, saya tahu bagaimana pertemuan diatur.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here