PUTRAJAYA – Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa boleh terus hidup dengan khalayannya untuk mendapat perdana menteri ke-11 dalam masa terdekat.
Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, angan-angan Annuar itu tidak akan menjadi kenyataan kerana tidak ada pilihan raya umum yang akan berlaku.
“Belum pilihan raya lagi, dia boleh hidup dengan angan-angan dia,” kata Menteri Komunikasi dan Multimedia itu ringkas dalam sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di pejabatnya, hari ini.
Fahmi ditanya mengenai tindakan kerajaan terhadap Annuar yang mendakwa negara akan mendapat perdana menteri baharu.
Dalam hantaran di media sosial baru-baru ini, Annur memberi bayangan akan berlaku pertukaran perdana menteri selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan titah adendum diserahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong ke-17
“Tidaklah mustahil PM ke-11 bakal menjadi penyatu kepada seluruh orang Melayu, Bumiputera dan umat Islam negara kita di samping memperkukuh Perpaduan Nasional pelbagai kaum yang sejati.
“Selain dari itu PM-11 akan turut berpeluang mengembelingkan tenaga dan pemikiran enam mantan PM yang masih hidup serta berupaya membantu PM-11 memaju dan membangun negara secara lebih berkesan.
“Beliau mampu menamatkan politik dendam dan “witch hunting”,sebaliknya menjadi simbol penyatuan dan perpaduan dengan tumpuan membela rakyat,” tulis Annuar di Facebook.
Menurut Annuar, pelantikan Perdana Menteri ke-11 yang betul akan memboleh dasar-dasar negara kembali ke arah memperkasa prinsip prinsip Rukun Negara serta menyemarak semula roh dan semangat Perlembagaan seperti awal pembentukan Malaysia.
“Dari keharmonian yang PM-11 bawa, negara kembali fokus kepada politik matang dan sejahtera, PM-11 bersama enam mantan PM bakal merupakan “The Magnificent seven’ yang dinanti nantikan oleh rakyat.
“Buang yang keruh, ambil yang jernih. Selamat datang Perdana Menteri Malaysia yang ke-11,” kata Annuar. – MalaysiaGazette