Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bercakap ketika sidang media mengenai statistik Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) 2024 di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 15 JANUARI 2025

PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook kecewa dengan beberapa keputusan yang dibuat oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) terutamanya melibatkan Projek Penggantian Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut beliau, projek berkenaan mungkin beroperasi lewat daripada tarikh yang pernah diumumkan sebelum ini iaitu 31 Januari ini.

Jelas beliau, ketika ini ujian dinamik sedang dilakukan dan selepas itu aerotrain berkenaan akan melalui ujian sistem secara keseluruhan serta ujian integrasi sistem sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa bagi ujian terakhir.

Menurut beliau, pihak kontraktor masih belum memberikan tarikh muktamad meskipun sebelum ini mereka mengatakan projek tersebut boleh disiapkan menjelang 31 Januari ini.

“Ketika ini, ia masih di peringkat ujian oleh kontraktor dan mereka masih belum memberikan tarikh muktamad.

Setiap hari orang tanya mengenai aerotrain kepada saya dan saya yang kena jawab bagi pihak MAHB, tiada siapa tanya mereka.

“Saya tidak gembira dengan keputusan mereka 

“Semua orang tanya Menteri Pengangkutan, jadi saya kena jawab. Tapi kita kena faham bahawa keputusan itu dibuat oleh MAHB dan mereka sepatutnya bertanggungjawab juga,” katanya dalam sidang media prestasi tafik penumpang dan kargo Malaysia bagi tahun 2024 di Kementerian Pengangkutan, hari ini.

Jun tahun lalu, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata perkhidmatan aerotrain dijadual siap lebih awal menjelang 31 Januari.

MAHB berkata jangkaan itu adalah dua bulan lebih awal daripada tarikh asal siap pada 31 Mac 2025.

Pengendali lapangan terbang itu berkata garis masa yang dipercepat telah dimuktamadkan menerusi kontrak yang dimeterai pada 14 Jun 2024, membabitkan Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MA Sepang) dan usaha sama merangkumi IJM Construction Sdn Bhd dan Pestech Technology Sdn Bhd (IJMC-Pestech JV).

Pada Mac 2022, MAHB mengumumkan telah menganugerahkan Projek Penggantian Aerotrain KLIA, yang mempunyai garis masa untuk disiapkan selama tiga tahun.

Bagaimanapun, projek berkenaan mengalami kelewatan dan disusuli dengan penganugerahan projek baharu pada Januari 2024 kepada konsortium merangkumi Alstom, pengeluar peralatan asal Aerotrain dan JMC-Pestech JV untuk mengemudi projek itu agar kembali kembali ke landasan asal.

MAHB sebelum ini memaklumkan projek bernilai lebih RM700 juta dengan rekaan mesra pengguna itu akan beroperasi 24 jam setiap hari selain dilengkapi pakej penyelenggaraan operasi selama 10 tahun sehingga 2034.

Pada 2 Mac 2023, perkhidmatan Aerotrain dihentikan sementara dan digantikan dengan bas atas faktor keselamatan.

Keputusan tersebut diambil susulan insiden membabitkan aerotrain terkandas kira-kira 3 petang di KLIA sehari sebelum itu, membabitkan 114 penumpang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here