KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (JKR) sedang berusaha mendapatkan peruntukan tambahan bagi membaik pulih jalan raya yang rosak teruk akibat banjir baru-baru ini.
Kos keseluruhan kerja-kerja pemulihan dianggarkan melebihi RM100 juta dengan keutamaan diberikan kepada negeri-negeri yang paling terjejas seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor.
Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, bajet kementerian pada tahun lalu telah digunakan sebanyak 98 peratus.
“Namun peruntukan ini tidak mencukupi untuk menampung kos baik pulih berskala besar yang diperlukan selepas bencana banjir.
“Projek pemulihan ini akan dimulakan Februari nanti, namun kami sedang berusaha mendapatkan dana tambahan daripada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan bagi memastikan semua kerja dapat dilaksanakan dengan sempurna,” katanya.
Beliau berkata dalam sidang media selepas perasmian Program Jelajah 2024 JKR BIM : Trail Training Lectures Zon Tengah di Dewan Jabatan Hutan Semenanjung Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan kos pembaikan jalan akibat banjir ekoran Monsun Timur Laut (MTL) mencecah RM101.57 juta.
Ini termasuk RM45.37 juta untuk pembaikan jalan di negeri-negeri Semenanjung yang rosak akibat banjir termasuk kerja berkala pada jalan berturap, bukan berturap, jambatan serta lampu isyarat dan lampu jalan.
Sementara itu, pembaikan jalan di Sabah, Sarawak dan Labuan pula melibatkan kos RM56.2 juta yang merangkumi kerja serupa pada jalan berturap dan bukan berturap.
Manakala kos pembaikan cerun runtuh di sembilan lokasi dianggarkan berjumlah RM41 juta melibatkan dua lokasi masing-masing di Kelantan dan Terengganu serta lima lokasi di Perak. – MalaysiaGazette