KUALA LUMPUR – Empat individu ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kejadian memukul seorang lelaki di Semenyih, Kajang yang rakamannya tular.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, dua daripada suspek telah ditahan pada 8 dan 12 Januari lalu manakala dua lagi ditahan hari ini.
Katanya, kesemua suspek berusia antara 32 hingga 36 tahun.
“Tiga daripada mereka mempunyai rekod dadah dan jenayah. Bagi mengetahui punca sebenar kejadian kes masih dalam siasatan,” katanya ringkas menerusi aplikasi Whatsapp, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tuntuk menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes iaitu Insp. Mohd Amirul Abd Wahab di talian 013-5495236 bagi membantu siasatan.
Naazron turut menasihatkan orang ramai untuk tidak terlibat dengan perbuatan yang melanggar undang-undang.
Terdahulu, polis daerah Kajang mendapati satu paparan video yang tular mengenai kejadian memaparkan seorang lelaki India telah dipukul oleh beberapa lelaki India di kawasan Semenyih. – MalaysiaGazette