Tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini

MELAKA – Seorang guru lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dengan cara meraba kemaluan dua pelajar lelaki tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Fuad Abd Wahab, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah dan Hakim Haderiah Siri sebaik semua pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam dua prosiding berasingan.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia 16 tahun dengan cara meraba kemaluan.

Perbuatan itu dilakukan di tiga lokasi berbeza sekitar Batu Berendam dalam daerah Melaka Tengah iaitu di dalam Bilik Pengawas Blok A, Aras 1 di sebuah sekolah menengah.

Ia termasuk dalam kereta miliknya berdekatan stesen minyak Petronas dan dalam bilik sebuah rumah beralamat di Taman Sutera Wangi.

Kesalahan didakwa berlaku antara kira-kira pukul 8 pagi 1 November 2022 hingga sekitar 11.30 malam pada 18 September 2023.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh juga disebat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Azfar Mahmud dan Muhamad Ali Hussain masing-masing mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Muhammad Ali juga mencadangkan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan dan perlu melaporkan diri sekali setiap bulan di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.

Peguam, Andrew Lourdes dan Chua Yong Yi dalam prosiding masing-masing bagaimanapun merayu dikenakan ikat jamin minimum kerana anak guam yang bergaji rendah sebagai penjawat awam juga perlu menyara ibu bapa yang sakit.

Anak guamnya juga telah ditugaskan ke tempat lain dan tidak lagi berkomunikasi dengan pengadu selepas aduan kes dilaporkan.

Kedua-dua mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM28,000 bagi kesemua lima pertuduhan beserta syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan dan perlu hadir pada setiap sebutan perbicaraan kes.

Mahkamah menetapkan tarikh 14 Februari 2025 untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here