PETALING JAYA – Kerajaan Negeri Selangor belum memuktamadkan cadangan pembinaan loji pembakaran sampah (insinerator) berhampiran dengan kawasan penduduk di Batu Arang, Rawang.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagaimanapun terdapat dua projek pembinaan insinerator akan dibina di kawasan tersebut.
“Kemajuan projek, benda itu belum sampai ke peringkat KM (kebenaran merancang) lagi pun, kita akan tengok dan saya akan kemukakan.
“Saya sedang berbincang secara keseluruhan untuk tengok kemungkinan sebab ada dua projek yang akan berlangsung di situ.
“Kita akan pastikan suasana menang-menang akan berlaku,” katanya kepada pemberita , di sini, hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan Kejohanan Golf Selangor International Junior Golf Championship 2025 dan PKNS Selangor Masters 2025 di Kelab Golf Seri Selangor, Tropicana.
Pada 3 Januari lalu, media melaporkan Jaringan Rawang Tolak Insinerator mendakwa Kerajaan Negeri Selangor masih membisu terhadap bantahan penduduk isu pembinaan insinerator di Batu Arang, Rawang.
Badan bertindak itu berkata, isu tersebut hampir dua tahun lalu dibangkitkan dengan lebih 10,000 memo bantahan telah dihantar, namun tiada perkembangan bermakna diperoleh.
Difahamkan cadangan projek insinerator itu akan menampung sisa pepejal dari Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan Majlis Perbandaran Selayang.
Dalam pada itu, Amirudin mengakui pihaknya ada menerima bantahan cadangan pembinaan insinerator, namun beliau meminta penduduk terbabit agar tidak menyamakan fasiliti itu dengan tempat lain.
“Kalau ikut bantahan-bantahan yang dikemukakan, memang ada bantahan, tetapi kita tak boleh bayangkan insinerator itu macam insinerator 45 tahun lepas.
“Insinerator-insinerator yang kita perlukan ini juga akan memastikan kita dapat menguruskan sampah dengan berkualiti,” katanya.
Selain itu, Amirudin mengesahkan, setakat ini hanya dua loji pembakaran sampah sudah dimuktamadkan iaitu di Tanjung 12, Kuala Langat dan Jeram, Kuala Selangor.
“Pastinya dua telah berjalan di bawah Worldwide Holdings Berhad, satu di Tanjung 12 dan satu lagi di Jeram.
“Itu sedang dalam pembinaan terutamanya di Jeram yang akan siap dalam 2025, manakala Tanjung 12 pula baru nak mula, kita nak ambil alih tanah dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette