KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta mengesan seorang lelaki warga emas dikenali sebagai Hussin Othman yang dilaporkan hilang di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 10 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis berkait orang hilang sekitar pukul 7.15 malam.
“Berdasarkan laporan, lelaki tempatan berusia 65 tahun itu kali terakhir dilihat keluar dari Wad 24 aras 5 di HKL pada pukul 6 petang hari sama.
“Lelaki warga emas itu memiliki ketinggian 168 sentimeter (cm), berambut putih, bercermin mata dan bertongkat serta memakai baju berwarna kelabu berlogo mini love.
“Selain itu, dia berseluar pendek berwarna kelabu serta berselipar dengan memegang bungkusan plastik warna merah dan putih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Dang Wangi di talian 03-2600 2264 atau Pusat Kawalan IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette