Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berucap pada Ceramah Kelompok Perikatan Nasional sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 DUN Mahkota di Taman Melanti, Kluang. Foto SADIQ SANI, 26 SEPTEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Naib pengerusi DAP, Nga Kor Ming ditempelak kerana menyentuh isu kontroversi yang timbul berhubung sandwic ayam ham dan keju yang dijual di kampus Universiti Malaya (UM).

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata isu yang dipertikaikan adalah sijil halal yang palsu dan bukannya maksud Ham dan cheese.

“Mereka yang prihatin dengan sijil halal ini ialah umat Islam yang mahukan makanan yang dimakan benar-benar diiktiraf halal oleh JAKIM.

“Jika tiada langsung sijil halal, itupun tiada masalah, terpulang kepada pelanggan untuk buat keputusan. Tapi bila guna sijil halal palsu, itu bermaksud menipu atas nama halal,” katanya mengulas kenyataan terbaharu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan telah menyentuh isu kontroversi yang timbul berhubung sandwic ayam ham dan keju yang dijual di kampus UM selepas logo halal didakwa disalahgunakan pada sandwic yang telah siap dibungkus.

Beliau jelas menyindir pihak-pihak tertentu yang dituduhnya membesar-besarkan perkara ini, dengan menyatakan bahawa “ham” hanya merujuk kepada daging yang telah diawet.

“Kita ada ham ayam belanda dan ham ayam, yang sesuai untuk dimakan. Begitu juga dengan root beer, yang dibuat daripada akar sassafras yang tidak mengandungi alkohol dan baik untuk diminum.

“Menjadikan perkara ini sebagai isu hanya menunjukkan siapa sebenarnya yang bodoh,” katanya dalam satu hantaran di X.

Mengulas lanjut, Fadhli berkata kenyataan Kor Ming terhadap individu yang mempertikai isu sandwic ayam ham dan keju adalah ‘bodoh’ juga tidak sepatutnya.

 Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh mempersoalkan pensijilan halal untuk sandwich ham tersebut dan merujuk kepada kontroversi terdahulu yang melibatkan penjualan stokin “Allah” oleh KK Mart.

Akmal dikritik oleh Naib Presiden MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng, dan Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong, di mana Jack Seng menggesa Akmal supaya tidak mempolitikkan isu ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu membalas kritikan tersebut dengan menegaskan bahawa kesalahan menyalahgunakan logo halal adalah serius dan mempunyai implikasi mendalam terhadap umat Islam.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Fahmi Zainol, turut mempertahankan Akmal dengan mengatakan kritikan tegas Ketua Pemuda Umno itu tidak berkaitan dengan kepentingan politik, sebaliknya tentang menghormati kesucian Islam.

Semalam, KK Mart menyatakan bahawa pihaknya telah menggantung semua urusan perniagaan dengan pembekal sandwic siap bungkus yang dijual di salah satu cawangannya di Universiti Malaya selepas kebimbangan timbul mengenai penggunaan logo halal pada bungkusan sandwic tersebut.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan bahawa sandwic yang dipersoalkan, bersama syarikat pengeluarnya, tidak mempunyai sijil halal.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga telah menyerbu kilang sandwich yang terlibat.

Hasil siasatan kementerian mendapati logo halal pada bungkusan tersebut berasal daripada sijil yang dikeluarkan kepada sebuah syarikat lain, yang telah berhenti beroperasi dan telah menjual perniagaannya kepada firma yang diserbu itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here