BUTTERWORTH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang mengagalkan cubaan sindiket yang menjadikan negara ini sebagai transit penyeludupan selepas merampas rokok bernilai RM5.84 juta di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor.
Pengarah JKDM Pulau Pinang, Rohaizad Ali berkata, 22,500 karton rokok itu ditemui sepasukan pegawai yang melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kontena yang diikrar membawa pakaian terpakai di pelabuhan tersebut pukul 11.20 pagi pada 26 Disember lalu.
“Bagi mengaburi mata pihak berkuasa mereka meletakkan pakaian terpakai itu di bahagian hadapan manakala rokok tersebut disembunyikan di bahagian belakang kontena.
“Rokok-rokok jenama ini tidak digunakan di Malaysia sebaliknya disyaki dari Thailand dan ditransit di negara ini untuk dihantar ke India.
“Secara keseluruhan kesemua rokok tidak berkastam itu bernilai lebih RM1.37 juta serta melibatkan cukai berjumlah lebih RM4.47 juta,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal di sini hari ini.
Tambah Rohaizad, tiada tangkapan dilakukan dalam serbuan tersebut namun pihaknya meneruskan siasatan bagi menyiasat bagi sama ada wujud penglibatan orang tempatan atau sebaliknya.
“Rokok adalah barang larangan dan pengimportan tertakluk kepada permit import di bawah Item 1, Jadual Ketiga, Bahagian Il Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya.
Pada perkembangan berasingan, Rohaizad berkata, pihaknya turut merampas 52,790 tin bir bernilai RM1.18 juta yang diseludup masuk dari India menerusi Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 12 Disember lalu.
“Semakan ke atas kontena yang diikrar sebagai barangan perabot itu membawa kepada penemuan 26,395 liter minuman keras yang dianggarkan bernilai RM264,000 serta melibatkan cukai RM917,083.
“Hasil siasatan kita jenama arak tersebut tidak dibenarkan dijual dalam negara susulan kadar alkoholnya sangat tinggi dan kita percaya ia diseludup masuk untuk dijual kepada warga asing di sini.
“Tiada tangkapan dibuat dalam kes ini dan siasatan dibuka mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976,” katanya. – MalaysiaGazette