KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengekang kenaikan inflasi tahun ini memandangkan terdapat pelan penarikan subsidi RON95, kenaikan tarif elektrik dan promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera, Shahir Adnan berkata, ketiga-tiga pelan itu merupakan kumpulan teras tenaga dan perkhidmatan yang menyaksikan peningkatan peratusan inflasi pada tahun lalu.
Katanya, unjuran tersebut tertakluk kepada perubahan keadaan ekonomi yang tidak dapat dijangkakan, seperti fluktuasi harga komoditi global atau ketegangan politik yang boleh mempengaruhi kestabilan harga.
“Diharapkan Kerajaan bersedia dengan pelan sokongan bagi menurunkan kadar inflasi sekiranya keadaan inflasi naik mencanak pada suku kedua 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Shahir, pada tahun lepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan kadar inflasi negara akan berada dalam julat 2.8 peratus hingga 3.8 peratus.
Unjuran itu, katanya, berasaskan kepada beberapa faktor termasuk harga barang dan perkhidmatan yang diharapkan lebih stabil serta dasar monetari yang berhati-hati untuk mengawal inflasi.
Bagaimanapun ujar beliau, untuk tahun 2025, unjuran inflasi Malaysia dijangka kembali lebih rendah, dengan kadar inflasi mungkin berada dalam julat 2.0 peratus hingga 3.0 peratus bergantung kepada keadaan ekonomi domestik dan global.

Ini katanya, termasuk impak daripada harga minyak, perubahan dalam bekalan makanan serta dasar fiskal dan monetari yang diterapkan oleh kerajaan dan Bank Negara.
TambahShahir, inflasi keseluruhan bagi tempoh Januari hingga November 2024 meningkat 1.8 peratus berbanding 2.5 peratus pada tempoh sama tahun 2023.
“Kenaikan ini disumbangkan terutamanya restoran dan perkhidmatan penginapan (3.1 peratus), Perumahan, Air, Elektrik (3 peratus) serta barangan dan perkhidmatan (3 peratus),” katanya. – MalaysiaGazette