KUALA LUMPUR – Hasrat seorang lelaki meminjam wang sebanyak RM50,000 bagi tujuan perniagaan membawa padah apabila menjadi mangsa penipuan sindiket ahlong yang menyamar sebagai perunding kewangan.
Mangsa yang lebih dikenali sebagai Azman, 40, itu mula terjebak dengan sindiket itu selepas terpengaruh dengan iklan berkaitan pinjaman peribadi di laman sosial pada April 2024.
Tertarik dengan iklan, mangsa mula berurusan dengan perunding kewangan syarikat itu dan menghantar dokumen diri untuk tujuan pemprosesan pinjaman.
“Saya mula menghubungi pihak bank untuk bertanya tentang status pinjaman namun pihak bank menafikan adanya permohonan.
“Saya kemudiannya berurusan kembali dengan konsultan kewangan itu dan dia mengatakan bahawa permohonan pinjaman dengan bank ditolak.
“Bagaimanapun, perunding berkenaan mengatakan bahawa permohonan pinjaman adalah menggunakan ‘pintu belakang,” katanya pada ketika sidang media Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini hari ini.
Azman kemudian diminta untuk berjumpa dengan konsultan kewangan itu bagi mendapatkan wang pinjaman RM50,000 di sebuah kawasan Rawat Dan Rehat di lebuh raya.
Bagaimanapun, mangsa dikatakan diminta membuat bayaran berserta kadar faedah berjumlah RM450,000 kepada sembilan orang suspek yang kononnya merupakan perunding kewangan syarikat berlainan.
“Saya gagal lunas pinjaman berserta kadar faedah. Namun saya ditawarkan untuk meminta bantuan kepada salah satu konsultan syarikat kewangan yang juga kenalan daripada syarikat kewangan yang saya pinjam.
“Rupa-rupanya, sembilan konsultan yang saya berunding merupakan perunding kewangan syarikat yang sama,” katanya.
Tambah Azman, dia mula berdepan detik cemas apabila didatangi dan bergelut dengan dua individu yang dipercayai daripada kumpulan ceti haram itu pada 7 Januari lalu.
Azman dikatakan telah dipaksa untuk masuk ke dalam kereta dan berlaku pergelutan sehingga menyebabkan bajunya koyak akibat dirobek.
“Sewaktu saya dalam cubaan hendak larikan diri, saya ternampak tatu naga pada bahagian dada suspek ketika pergelutan itu. Selepas berjaya melarikan diri, saya terus menghubungi pihak MHO untuk meminta pertolongan,” katanya.
Beliau juga menerima satu pesanan melalui aplikasi WhatsApp yang disyaki dihantar oleh ceti haram berkenaan.
“Pesanan itu mengugut saya dengan mengancam keselamatan ahli keluarga saya. Bagaimanapun, laporan polis telah dibuat berkenaan kejadian,” ujarnya. – MalaysiaGazette