KUALA LUMPUR – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) menyangkal kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berhubung hak pihak berkuasa untuk memeriksa telefon bimbit orang awam.
Koordinator Perundangan LFL, Yu Ying Ying berkata, polis tidak berhak memeriksa telefon bimbit seseorang itu melainkan ketika dalam proses siasatan yang sedang berlangsung.
Ujar beliau, pemeriksaan itu juga mesti tertumpu kepada individu yang terlibat atau yang sedang dikesan dalam skop siasatan jenayah dengan syak wasangka munasabah terhadap penglibatan mereka.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan kenyataan Razarudin tidak sah daripada segi undang-undang, menggalakkan tindakan tidak sewajarnya oleh anggota polis dan menimbulkan ancaman terhadap kebebasan awam.
“Undang-undang yang disebut oleh Ketua Polis Negara itu tidak menyokong dakwaan bahawa ‘tiada siapa boleh mempertikaikan kuasa polis untuk memeriksa telefon bimbit di sekatan jalan raya’.
“Polis mesti bertindak hanya dalam batas kuasa yang diberikan kepada mereka oleh undang-undang. Jika tidak, tindakan mereka akan menjadi tidak sah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang atau tuntutan ganti rugi di mahkamah.
“Sehubungan itu, kerajaan tidak boleh berdiam diri dan mesti memastikan bahawa polis bertindak mengikut undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Razarudin dilaporkan berkata, polis berhak untuk memeriksa telefon bimbit orang awam sekiranya ada syak wasangka atau mendapat maklumat seseorang itu disyaki melakukan kesalahan.
Tegas beliau, hak itu termaktub dalam Seksyen 23 (1) Kanun Prosedur Jenayah, iaitu bagi maksud memastikan tiada sebarang komunikasi berunsur lucah, jelik, mengugut dan mengancam seseorang.
Tambahnya, perkara itu dibenar berdasarkan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
Sementara itu, Ying Ying menegaskan, tidak ada mana-mana peruntukan dalam akta yang disebutkan oleh Razarudin tersebut yang memberi hak kepada polis untuk memeriksa telefon bimbit seseorang kecuali dalam parameter siasatan yang sedang berlangsung dan bila mana terdapat syak wasangka munasabah.
Dalam erti kata lain, ujar beliau, seksyen-seksyen di bawah akta itu tidak memberi kuasa kepada polis untuk memeriksa telefon bimbit sesiapa sahaja sama ada ketika sekatan jalan raya atau di mana-mana tempat lain.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk menyedari hak mereka dan berhak untuk menolak permintaan yang tidak sah daripada anggota polis.
“Pemeriksaan rutin telefon bimbit adalah dilarang oleh undang-undang. Kuasa yang diberikan kepada polis tidak boleh disalahgunakan atau digunakan secara sewenang-wenangnya terhadap orang awam,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: