Afnan Hamimi

KUALA LUMPUR – Lanjutan serta tawaran pengambilalihan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang rendah oleh konsortium Gateway Development Alliance (GDA) yang diterajui Khazanah Nasional Berhad dan BlackRock menunjukkan kegagalan kerajaan dalam mempertahankan kepentingan negara.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Afnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa, tindakan itu juga membuka ruang kepada eksploitasi aset negara oleh entiti asing termasuk pihak yang terpalit dengan dakwaan serius seperti jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai.

Menurut beliau, hakikat GDA gagal mencapai ambang penerimaan 90 peratus sehingga tarikh akhir awal menunjukkan tawaran RM11 sesaham adalah tidak adil, tidak wajar dan tidak mencerminkan nilai sebenar MAHB.

“Tawaran ini bukan sahaja merugikan negara, malah membangkitkan persoalan serius mengenai pengurusan dan akauntabiliti Khazanah serta institusi berkaitan,” ujarnya dalam satu kenyataan seperti dipetik menerusi portal Harakahdaily hari ini.

Dalam pada itu, Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar turut  mengecam keputusan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) yang menerima tawaran tersebut.

Ujar beliau, tindakan KWAP itu adalah satu pengkhianatan terhadap amanah rakyat, khususnya penjawat awam yang bergantung kepada dana tersebut untuk masa depan mereka.

“Jika Permodalan Nasional Berhad (PNB) turut menyusuli langkah ini, ia akan mengesahkan bahawa pengurusan dana awam semakin terpisah daripada tanggungjawab kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, Pemuda PN mencadangkan tiga langkah diambil bagi memastikan kepentingan rakyat dan negara dalam isu terbabit dipertahankan.

Antaranya, tegas beliau, Pemuda PN mendesak Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memanggil semua pihak berkepentingan termasuk pengurusan PNB, KWAP dan Khazanah untuk memberi penjelasan menyeluruh kepada rakyat berhubung isu terbabit.

Dalam masa sama, ujarnya, kerajaan turut dituntut mengkaji semula strategi pengurusan aset strategik negara seperti MAHB selain kerajaan dan semua institusi berkaitan mesti memastikan setiap keputusan yang melibatkan aset strategik negara dibuat dengan telus, adil dan berdasarkan kepentingan rakyat.

“Kita turut menyokong usul penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu itu secara mendalam dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang melanggar amanah rakyat.

“Kepentingan negara tidak boleh digadaikan demi keuntungan jangka pendek atau kepentingan segelintir pihak,” katanya.

Tambah beliau, Pemuda PN akan terus memantau isu itu dan menggerakkan usaha untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia termasuk golongan muda untuk bersama-sama menyuarakan bantahan terhadap penjualan aset strategik negara yang dilakukan tanpa mengambil kira kepentingan nasional.

“Perjuangan ini bukan soal politik semata-mata, tetapi soal masa depan negara. Pemuda PN akan terus menjadi suara rakyat dalam memastikan ketelusan, integriti, dan keadilan dipertahankan dalam pentadbiran negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here