Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar (tengah) bersama bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfig Fawzan Al-Rabiah (lima kanan) selepas menandatangani memorandum Urusan Haji bersama pihak Kerajaan Arab Saudi bagi memperkukuhkan lagi kerjasama strategik kedua-dua pihak, turut hadir Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain (tiga kiri) di Jeddah, Arab Saudi. Foto MALAYSIA GAZETTE, 15 JANUARI 2025.

JEDDAH – Kerajaan Malaysia menandatangani Memorandum Urusan Haji bersama pihak Kerajaan Arab Saudi bagi memperkukuhkan lagi kerjasama strategik kedua-dua pihak terutamanya dalam pengurusan haji untuk musim 1446H/2025M.

Memorandum berkenaan ditandatangani oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar,  mewakili Kerajaan Malaysia dan pihak Kerajaan Arab Saudi yang diwakili oleh Dr. Tawfig Fawzan Al-Rabiah, Menteri Haji dan Umrah.

Dr. Mohd Naim berkata, memorandum ini menjadi bukti komitmen kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji (TH) dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada para bakal dhuyufurrahman khusus untuk musim haji kali ini.

“Alhamdulillah, dalam kunjungan rasmi saya ini kita telah dapat menjalinkan satu pemeteraian secara rasmi bagi mengukuhkan lagi hubungan akrab yang telah sekian lama terjalin di antara negara Malaysia dan Arab Saudi.

“Ini merupakan salah satu usaha berterusan kerajaan dan TH dalam menambahbaik pengurusan jemaah haji negara secara keseluruhan serta membuka peluang untuk peningkatan kualiti perkhidmatan TH di tanah suci melalui kerjasama beberapa pihak di Arab Saudi,” katanya.

Memorandum yang dimeterai melibatkan beberapa persetujuan antaranya jumlah kuota haji rasmi negara sebanyak 31,600 orang bagi musim 1446H/2025M.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berbual mesra bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfig Fawzan Al-Rabiah ketika hadir menandatangani memorandum Urusan Haji bersama pihak Kerajaan Arab Saudi bagi
memperkukuhkan lagi kerjasama strategik kedua-dua pihak di Jeddah, Arab Saudi. Foto MALAYSIA GAZETTE, 15 JANUARI 2025.

Selain itu, Malaysia juga menyatakan persetujuan untuk mematuhi garis panduan dari Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi berkaitan ketibaan dan pergerakan pulang melalui lapangan terbang Madinah dan Jeddah.

Malaysia juga akan menyelesaikan kesemua kontrak bersama pelbagai pihak di Arab Saudi lebih awal bagi memudahkan pengurusan jemaah haji di tanah suci.

Dalam kunjungan hormat Dr. Mohd Na’im bersama Dr. Tawfig itu juga, Malaysia telah memohon kuota haji tambahan sebanyak 10,000 dan permohonan tersebut akan dipertimbangan dengan sewajarnya oleh Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi.

Pertemuan rasmi ini berlangsung bersempena dengan acara tahunan Simposium dan Pameran Haji 1446H anjuran Kerajaan Arab Saudi  bermula 13 hingga 16 Januari, bertempat di Superdome, Jeddah.

Simposium tersebut mengumpulkan pengendali operasi haji dan umrah dari serata negara dan turut menjadi platform perkongsian aspirasi pengurusan haji oleh Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi.

Delegasi Malaysia turut diwakili oleh Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman serta barisan pengurusan kanan TH.

Para delegasi turut berkesempatan bertemu wakil-wakil pengendali dan Pejabat Urusan Haji dari beberapa negara bagi bertukar pandangan serta berkongsi ilmu dalam menambahbaik penyampaian perkhidmatan pengurusan haji negara. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here